Martin presiden baru CGF

Martin presiden baru CGF

AUCKLAND, New Zealand, 2 Sept (Reuters) – Pentadbir sukan Britain, Louise Martin dipilih Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang baharu selepas menewaskan penyandangnya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaa’far pada perhimpunan agung badan induk itu, hari ini.

Pemilihan Martin turut mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya jawatan penting dalam organisasi sukan terbabit disandang oleh wanita.

Tunku Imran memegang jawatan presiden CGF pada 2011 dengan menggantikan tugas Mike Fennel dari Jamaica.

Sepanjang empat tahun menjawat jawatan itu, Tunku Imran membantu melaksanakan hala tuju strategik baharu CGF.

“Kita mengharungi masa turun dan naik,” kata Tunku Imran. “Ia empat tahun yang hebat buat saya namun kita sudah berada pada tahap di mana kita sudah mempunyai pelan strategik untuk masa hadapan,” katanya.

Louise Martin bercakap kepada delegasi dan hadirin semasa mengumumkan Durban sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022 di Auckland, New Zealand semalam. – AFP
Louise Martin bercakap kepada delegasi dan hadirin semasa mengumumkan Durban sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022 di Auckland, New Zealand semalam. – AFP

Penganjuran Sukan Komanwel sejak beberapa tahun lalu dihimpit pelbagai masalah termasuk lebihan kos penganjuran yang menghalang bandaraya-bandaraya terkemuka untuk membuat bidaan.

Hanya dua bandar membida bagi edisi 2018 sebelum ia diserahkan kepada Gold Coast, Australia yang menewaskan bandaraya Hambantota, Sri Lanka.

Durban, Afrika Selatan pula akan menganjurkan edisi 2022 selepas muncul satu-satunya bandar yang menawarkan diri selepas Edmonton, Kanada menarik diri.

CGF ketika ini berdepan tekanan untuk kekal relevan dalam pasaran acara sukan yang semakin meningkat ketika ini.