Martinez kagumi Ranieri

Martinez kagumi Ranieri

LONDON, 18 Dis (Reuters) – Prestasi menakjubkan Leicester City telah membuatkan mereka dikagumi oleh para pencabar mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan pengurus Everton, Roberto Martinez memuji kesan yang diletuskan rakan sejawatannya Claudio Ranieri sejak mengambil alih tugas di Stadium King Power.

Meskipun Everton menghuni tempat ke-10 liga namun Martinez optimis anak buahnya mampu menamatkan rekod 11 perlawanan terakhir The Foxes tanpa kalah dalam saingan EPL.

Pengurus dari Itali, Ranieri, yang mengambil alih tugas dari Nigel Pearson musim ini hanya mengalami satu kekalahan iaitu ketika menentang Arsenal pada 26 September lalu dan Martinez berkata pemilihan bekas pemain Itali itu merupakan pilihan yang tepat oleh Leicester.

“Dia mempunyai pengalaman yang sangat baik dan adalah seorang yang cukup lengkap. Mereka adalah pasukan yang mempunyai semangat sangat kuat tetapi dia telah membawa lebih banyak pengetahuan dan kemahiran taktikal.

“Mereka melalui musim yang hebat. Ini adalah salah satu cerita yang luar biasa. Mereka adalah pasukan yang tidak mempunyai ketakutan.

Prestasi Leicester City telah melonjak nama Claudio Ranieri sehingga beliau dikagumi kawan dan lawan. – Reuters
Prestasi Leicester City telah melonjak nama Claudio Ranieri sehingga beliau dikagumi kawan dan lawan. – Reuters

“Mereka telah menjaringkan banyak gol dan pasukan yang boleh berbuat demikian dengan cara yang mereka lakukan mempunyai peluang untuk berjaya.” kata pengurus dari Sepanyol itu kepada laman web Everton.

Sebahagian besar kejayaan Leicester disumbangkan oleh dua tonggak utamanya iaitu Jamie Vardy dan Riyadh Mahrez yang kini menduduki tempat pertama dan ketiga dalam senarai penjaring EPL, tetapi Everton juga mempunyai penyerang berbisa Romelu Lukaku yang merupakan penjaring kedua terbanyak.

Lukaku yang mengumpul 12 gol, ketinggalan tiga gol daripada penjaring terbanyak setakat ini Vardy. Dia telah menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan terakhir liga untuk Everton.

Tetapi penyerang antarabangsa Belgium itu berkata, dia kagum dengan Vardy, yang memecahkan rekod liga apabila menjaringkan gol dalam perlawanan berturut-turut pada bulan lepas.

“Saya gembira untuk dia dan dia layak mendapat pengiktirafan ini. Menjaringkan 11 gol dalam perlawanan berturut-turut memang luar biasa. Tidak mudah sama sekali. Anda bermain menentang pertahanan terbaik jadi untuk memecahkan rekod bermakna anda mempunyai banyak kualiti,” kata Lukaku.

ARTIKEL YANG SAMA