Martinez tidak sabar bukti kehebatan

Martinez tidak sabar bukti kehebatan

MADRID, 18 Ogos – Penyerang baru Atletico Madrid Jackson Martinez percaya dia sedang berada di tahap terbaik untuk meneruskan kehebatan seperti yang pernah dipamerkan ketika bersama Porto musim lalu dan tidak sabar membuktikan kebolehannya pada perlawanan pembukaan La Liga menentang Las Palmas, hujung minggu ini.

Martinez yang juga pemain antarabangsa Colombia muncul penjaring terbanyak liga utama Portugal selama tiga tahun iaitu sepanjang dia mewakili Porto dan sudah mula menunjukkan belangnya ketika menyarung jersi Atletico apabila menanduk masuk salah satu gol ketika kemenangan 3-0 kelabnya itu pada perlawanan persahabatan menentang Real Betis.

Atletico membeli pemain itu bagi menggantikan penyerang Croatia Mario Mandzukic yang menyertai Juventus dan dia akan bersaing dengan Fernando Torres, Antoine Griezmann, Luciano Vietto dan Angel Correa untuk mengisi slot di depan. “Saya berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan karier baru saya di La Liga,” kata Martinez dalam satu temubual dengan akhbar sukan As yang diterbitkan semalam. – Reuters

“Semua rakan sepasukan saya bersaing dengan sihat dan terpulang kepada jurulatih untuk memilih pemain,” katanya.

Pengurus Atletico Diego Simeone perlu menyusun semula pasukannya selepas ketiadaan Mandzukic dan Arda Turan yang berpindah ke Barcelona ketika juara La Liga musim 2013-14 itu mahu mencabar pasukan kuat seperti Real Madrid dan Barcelona musim ini.

Atletico turut layak ke Liga Juara-Juara – pertandingan yang menyaksikan mereka layak ke final 2013-14 dan tewas di tangan Real pada masa tambahan. – Reuters

Martinez bergambar dengan jersi kelab semasa diperkenalkan di stadium Vicente Calderon 26 Julai lalu. – Reuters
Martinez bergambar dengan jersi kelab semasa diperkenalkan di stadium Vicente Calderon 26 Julai lalu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA