Martino bimbang ‘cara’ Argentina

Martino bimbang ‘cara’ Argentina

SANTIAGO, 14 Jun (Reuters) – Ketua jurulatih Argentina, Gerardo Martino bimbang dengan cara skuad kendaliannya mensia-siakan kelebihan dua gol ketika bertemu Paraguay pada perlawanan pembukaan Copa Amerika, hari ini.

Argentina hampir mencipta kemenangan pada aksi di bandar La Serena hasil jaringan pada babak pertama Sergio Aguero dan Lionel Messi namun Paraguay bangkit untuk mengikat keputusan seri 2-2.

“Apa yang paling membimbangkan saya ialah pasukan bermain secara keterlaluan,” kata Martino. “Jelas kami perlu bermain dengan kawalan yang mutlak.”

Argentina mengawal penuh permainan pada awal perlawanan, menikmati 75 peratus kawalan bola pada babak pertama selain melakukan tujuh cubaan ke gawang tanpa balas.

Begitupun Paraguay bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Nelson Haedo Valdez sebelum Lucas Barrios meledak gol penyamaan pada minit ke-90.

Penjaga gol Argentina, Sergio Romero juga mengakui pasukannya mulai selesa selepas babak pertama.

Sementera itu, penjaga gol Argentina Sergio Romero, yang beraksi cemerlang ketika berdepan Belanda sekali gus mara ke final Piala Dunia 2014, pulih daripada kecederaan dan akan diturunkan menentang Paraguay.

Romero terdahulu muncul sebagai penjaga gol paling banyak mewakili negara itu dengan 59 kap, memecahkan rekod pemenang Piala Dunia 1978, Ubaldo Fillol sewaktu perlawanan pemanas badan minggu lalu, menewaskan Bolivia 5-0.

Dia antara enam pemain yang kali terakhir beraksi pada final Piala Dunia, tewas kepada Jerman di Rio de Janeiro tahun lalu.

Argentina mara ke final hasil kejayaan Romero menyelamatkan dua sepakan penalti pada suku akhir selepas terikat tanpa jaringan pada masa tambahan sewaktu menentang Belanda.

Romero turut disertai pertahanan, Ezequiel Garay dan Marcos Rojo, pemain tengah Javier Mascherano, kapten Lionel Messi dan penyerang Sergio Aguero yang menjadi pemain gantian pada perlawanan akhir.

Aguero menjaringkan hatrik ke atas Bolivia untuk merebut tempat daripada Carlos Tevez manakala Angel Di Maria yang tidak beraksi pada final di Brazil berikutan kecederaan, menjaringkan dua gol pada perlawanan pemanas badan dan mengisi bahagian sayap kiri.

ARTIKEL YANG SAMA