Martino tak pinggir Messi

Martino tak pinggir Messi

BUENOS AIRES, 19 Ogos – Jurulatih Argentina, Gerardo Martino melenyapkan spekulasi Lionel Messi mungkin berehat daripada aksi antarabangsa dengan menamakan pemain Barcelona itu dalam skuadnya ke jelajah Amerika Syarikat, semalam.

Messi akan mengetuai Argentina pada perlawanan persahabatan menentang Bolivia dan Mexico di Texas bulan depan ketika mereka bersiap sedia menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 bermula Oktober ini.

Media Argentina menjangkakan bekas Pemain Terbaik Dunia itu mungkin tidak menyertai skuad ke jelajah itu selepas pasukannya kalah menerusi penentuan penalti pada final Copa America di tangan tuan rumah Chile bulan lalu, dengan sesetengah pihak mengkritik persembahannya pada aksi penentu di Santiago itu.

Martino yang mengumumkan skuadnya dalam laman web FA Argentina (www.afa.com.ar) pada hari ulang tahun ke-10 penampilan sulung Messi, menyatakan kritikan itu tidak adil dan jika beliau penyerang Barcelona itu, beliau akan bersara daripada pasukan kebangsaan.

Jurulatih itu menamakan skuad 24 pemain, menokok Ramiro Funes Mori dalam pasukan Copa selepas pertahanan itu menyerlah ketika kemenangan River Plate pada Copa Libertadores.

Martino (kanan) masih memerlukan khidmat Messi dalam skuad Argentina. – Reuters
Martino (kanan) masih memerlukan khidmat Messi dalam skuad Argentina. – Reuters

Tiga pemain sudah berpindah kelab sejak kejohanan itu dengan penjaga gol Sergio Romero menyertai Manchester United, pemain sayap Angel Di Maria berpindah ke Paris St Germain dan penyerang Carlos Tevez menyertai Boca Juniors.

Argentina bertemu Bolivia di Houston pada 4 September ini dan Mexico di Dallas empat hari kemudian.

Pasukan Martino menanti kunjungan Ecuador pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia pada 5 Oktober ini. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA