Marzinie Marsal dipenjara 3 tahun

Marzinie Marsal dipenjara 3 tahun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Jun – Seorang lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setelah didapati bersalah mengambil dadah terkawal Methylamphetamine pada tahun 2010 dan 2011.

Hukuman penjara ke atas Marzinie Marsal adalah keperluan minimum, berikutan defendan mempunyai sabitan terdahulu pada tahun 2002 atas kesalahan mengambil dadah-dadah terkawal.

Majistret Kuala Belait, Harnita Zelda Skinner dalam menjatuhkan hukuman, hari ini, menolak dakwaan Marzinie bahawa mangga kunci bagi kotak yang menyimpan contoh air kencingnya adalah tidak tulen, setelah pihak pendakwa menyediakan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Saintifik yang mengesahkan bahawa mangga kunci itu berdaftar dengan jabatan.

Walaupun tiada dadah ditemui pada Marzinie dalam bulan September 2010 dan Februari 2011, Majistret berkata defendan gagal untuk membuktikan bahawa ujian positif bagi dadah Kelas A Methylamphetamine, yang juga dikenali Syabu adalah palsu.

Kedua-dua tuduhan dikenakan ke atas Marzinie adalah di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, yang menyatakan bahawa pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa tertuduh telah menggunakan dadah terkawal, tanpa perlu menyatakan tempat yang tepat di mana kesalahan itu dilakukan.

Menurut kes pendakwaan, yang diketuai oleh Pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN), Siti Fauziah Ahmat, defendan pertama kali ditemui di kawasan tepi jalan di Kampung Jabang Seria pada 21 September 2010.

Pegawai BKN pada masa itu menghampiri Marzinie, yang melarikan diri daripada mereka sebelum berjaya ditangkap, pemeriksaan ke atas kereta defendan telah dilakukan, tetapi tiada dadah ditemui, lima bulan kemudian BKN menyerbu kediamannya di Seria, tetapi sekali lagi gagal untuk menemui sebarang dadah.

Dalam kedua-dua kejadian itu, contoh air kencing defendan telah diambil dan didapati positif Methylamphetamine.

Majistret Harnita Zelda Skinner, telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi kedua-dua pertuduhan, tetapi memerintahkan untuk dijalankan secara serentak.

Beliau juga memberitahu defendan untuk menggunakan masa selama dalam penjara untuk membuka lembaran baru dan tidak mengulangi lagi kesalahan itu apabila dibebaskan nanti.

ARTIKEL YANG SAMA