MAS, AirAsia tawar diskaun bagi penumpang Rayani Air

MAS, AirAsia tawar diskaun bagi penumpang Rayani Air

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) – Penumpang yang memegang tiket perjalanan Rayani Air boleh menempah semula penerbangan mereka yang telah dibatalkan melalui Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan nasional itu kini menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Tawaran tambang itu boleh didapati mulai hari ini sehingga 30 April, 2016 bagi perjalanan segera sehingga 31 Julai, 2016, menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Simmons berkata sebagai syarikat penerbangan nasional dan atas rasa mengambil berat terhadap rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk memberi sebarang bantuan bagi mengurangkan beban yang menjejaskan penumpang Rayani Air.

“Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang terjejas untuk membawa mereka ke destinasi yang dihasratkan. Kami berharap tawaran ini akan meringankan masalah perjalanan yang dihadapi penumpang,” katanya.

Bagi menikmati tambang istimewa ini, penumpang yang terjejas perlu mengemukakan emel mereka berkenaan bukti tempahan perjalanan dengan Rayani Air.

Manakala Syarikat penerbangan AirAsia juga menawarkan tambang pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tambang rendah itu berkata tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Baharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk tempoh perjalanan mulai hari ini hingga 27 April 2016.

Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.

ARTIKEL YANG SAMA