MAS dijangka lemahkan nilai dolar S’pura

MAS dijangka lemahkan nilai dolar S’pura

SINGAPURA, 12 Okt – Pemerhati ekonomi menjangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan melemahkan sedikit mata wang dolar Singapura, memandangkan ekonomi yang semakin perlahan di samping inflasi bagi tahun sepenuhnya kelihatan memasuki kawasan negatif.

Mereka menjangkakan kemerosotan 1 peratus apabila MAS mengeluarkan kenyataan dasar kewangan dua kali setahun minggu depan, demikian menurut laporan Akhbar Berita Harian hari ini.

Walaupun dolar Singapura mengalami kemerosotan berbanding dolar Amerika Syarikat, ia semakin kukuh berbanding dengan beberapa mata wang serantau seperti ringgit Malaysia dan rupiah Indonesia.

Ini bererti terdapat ruang bagi kadar tukaran wang menjadi lemah sekitar 1 peratus berbanding kumpulan mata wang daripada negara rakan niaga utama Singapura, akhbar itu memetik pakar ekonomi UOB, Francis Tan sebagai berkata.

Singapura menguruskan kadar tukaran dalam lingkungan dasar yang membolehkan MAS membuat penyesuaian apabila ia membuat semakan semula setiap April dan Oktober.

Kali terakhir ia membuat sedikit perubahan dasar ialah semasa ia mengenakan langkah mengejut pada Januari lalu bagi meredakan kenaikan nilai dolar Singapura.

MAS baru-baru ini menyatakan bahawa ia akan mengumumkan keputusan dasar kewangan bagi separuh tahunannya pada Rabu depan.