MAS kurangkan 6,000 pekerjaan

MAS kurangkan 6,000 pekerjaan

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) – Malaysia Airlines (MAS) tidak dapat pulih jika syarikat penerbangan nasional itu terus mempunyai jumlah tenaga kerja yang lebih daripada dikehendaki, menurut ketua badan pemikir tempatan.

Datuk Dr Chin Yew Sin, Presiden Pusat Penyelidikan Strategi Antarabangsa, menyambut baik langkah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar yang mengambil pendirian tegas dalam mengurangkan 6,000 pekerjaan sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan 12 perkara syarikat penerbangan tersebut.

“Pelan pemulihan itu menyediakan saiz tenaga kerja yang lebih sesuai seramai 14,000 orang. Kali ini, ia bukan lagi penstrukturan semula kewangan seperti yang ia laksanakan sebelum ini.

“Ini merupakan penstrukturan semula yang menyeluruh dan komprehensif untuk menghentikan syarikat penerbangan tersebut daripada kehilangan tunai,” kata Dr Chin.

“Ini adalah peluang terakhir MAS selepas tiga langkah penstrukturan semula. Laluan antarabangsa kini dikurangkan.

MAS adalah sebahagian daripada Perikatan OneWorld.
MAS adalah sebahagian daripada Perikatan OneWorld.

“Lebih banyak laluan antarabangsa dijangka dikeluarkan berikutan MAS memberi tumpuan kepada laluan serantau dan perubahan struktur lain akan dilaksanakan ke arah laluan domestik dan serantau yang lebih menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata langkah mengurangkan laluan antarabangsa itu tidak akan menghalang MAS daripada mempunyai kedudukan di peringkat antarabangsa berikutan MAS adalah sebahagian daripada Perikatan OneWorld.

“MAS Baharu tidak boleh menjadi MAS Lama, ia memerlukan struktur dan perubahan dalam budaya kerjanya.

“Dan yang penting, kunci kepada pemulihan MAS ialah mendapatkan pihak berkepentingan di pihak anda, seperti para pekerja, kesatuan, kerajaan, pembekal dan semua yang berada dalam ekosistem MAS,” kata Dr. Chin, yang merupakan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kali ini, kerajaan mempunyai keazaman politik untuk memulihkan MAS. Jumlah tenaga kerja perlu dikurangkan dalam usaha menyelamatkan MAS.

“Saya harap kesatuan dalaman akan lebih peka dan memahami keputusan kerajaan untuk menyesuaikan saiz syarikat penerbangan itu berikutan ini merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan MAS.”

Dr Chin berkata langkah MAS menamatkan laluan Frankfurt berkuat kuasa 29 Mei ini hanya merupakan permulaan kepada pengurangan beberapa laluan antarabangsa lain termasuk Dubai, Paris, Amsterdam dan penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu yang berada di peringkat awal tidak boleh terganggu dengan permintaan daripada ‘pihak ketiga’.

Pelan Pemulihan Khazanah, antara lain menyediakan rangka kerja pemudah yang diperlukan bagi proses perubahan, penyahsenaraian MAS, memindahkan operasi ibu pejabatnya dari Subang ke Sepang, Akta MAS telah diluluskan di Parlimen dan kewujudan MAS Baharu untuk menyediakan dan melaksanakan Pelan Pemulihan Perniagaan sendiri yang terperinci.

Khazanah yang memiliki 100 peratus kepentingan dalam MAS, akan menyuntik RM6 bilion ke dalam syarikat penerbangan tersebut dan sebaik bergiat semula, ia dijangka menghasilkan keuntungan pertamanya pada 2017.

MAS ketika ini mempunyai penerbangan ke kira-kira 80 destinasi di seluruh Asia, Australia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara.

Keahlian OneWorld menghimpunkan 15 syarikat penerbangan utama dunia, termasuk MAS, dan kira-kira 30 ahli gabungan, memberi perkhidmatan kepada lebih 1,000 destinasi di 155 buah negara dan membawa lebih 510 juta penumpang setahun – hampir seribu menaiki penerbangan OneWorld setiap minit, 24 jam sehari.

Ia mengendalikan kira-kira 3,500 pesawat dan menawarkan lebih 14,250 penerbangan sehari – purata satu syarikat penerbangan OneWorld berlepas atau tiba di suatu tempat di seluruh dunia pada setiap tiga saat.

Kemasukan MAS menambah 16 destinasi baharu dalam peta laluan Oneworld, mengukuhkan hubungan perikatan itu antara bandar-bandar perniagaan utama di Asia.

Pusat Penyelidikan Strategi Antarabangsa, merupakan badan pemikir membabitkan penyelidikan budaya, ekonomi dan politik, ditubuhkan pada 16 tahun lalu oleh kumpulan ahli akademik.