MAS siasat penerbangan MH132

MAS siasat penerbangan MH132

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Penerbangan Hari Krismas MH132 yang menerima dua arahan berbeza sehingga menyebabkan pesawat itu terbang ke arah yang salah selepas meninggalkan Auckland dalam satu lagi kejadian terbaru yang melanda syarikat itu sedang disiasat, kata Malaysia Airlines Bhd.

Menurut laporan media, lapan minit sejurus berlepas, juruterbang pesawat Airbus A330 bertanya kepada kawalan trafik udara Auckland mengapa penerbangan itu diarahkan untuk terbang ke selatan dan bukannya ke utara menuju destinasi Kuala Lumpur.

Akhbar The Sun berkata, juruterbang meneruskan penerbangannya merentasi Laut Tasman sebelum menuju ke timur laut ibu negara Malaysia.

Jurucakap Malaysia Airlines memberitahu AFP hari ini bahawa kedua-dua rancangan penerbangan itu dikeluarkan oleh syarikat berkenaan dan kini sedang disiasat mengapa ada pertindihan arahan.

“Penerbangan MH132 kami dari Auckland ke Kuala Lumpur diberi arahan penerbangan terbaru oleh pusat operasi syarikat manakala Kawalan Trafik Udara Auckland pula secara tidak sengaja diberikan pelan penerbangan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan lewat Ahad.

Menurut beliau lagi, rancangan penerbangan itu dikeluarkan berdasarkan keadaan semasa meliputi isu-isu seperti cuaca dan kecekapan laluan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal tidak pernah dikompromi bila-bila masa,” katanya.

Malaysia Airlines masih lagi terasa bahang kehilangan dua pesawat, termasuk MH370 yang hilang pada Mac tahun lepas selepas tidak dapat diterangkan menyimpang dari laluan penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Malaysia awal tahun ini mengesahkan bahawa sebahagian sayap pesawat yang terdampar di pulau Perancis, La Reunion di Lautan Hindi adalah sayap kapal terbang malang itu tetapi tiada serpihan lain ditemui walaupun carian intensif diketuai Australia dilancarkan di lautan.

Bencana 2014 juga menyaksikan pesawat MH17 Malaysia Airlines jatuh dan meletup di ruang udara Ukraine selepas ditembak dengan peluru berpandu dari darat ke udara, menyebabkan semua 298 orang di dalam pesawat terbunuh.

Menurut penganalisis, tragedi tahun lepas adalah tragedi terakhir paling buruk bagi sebuah syarikat penerbangan yang tidak diuruskan dengan baik selama bertahun-tahun sehingga menyebabkannya dilanda pelbagai masalah.

Pada bulan Jun, Ketua Pegawai Eksekutif baru Malaysia Airlines, Christoph Mueller, menggariskan rancangan untuk menstabilkan penerbangan itu termasuk mengurangkan 6,000 pekerjanya. – AFP