MAS tetap dasar kenaikan S$NEER

MAS tetap dasar kenaikan S$NEER

SINGAPURA, 14 April (Bernama) – Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) menetapkan dasar kadar julat pertukaran kenaikan nominal ke atas nilai dolar Singapura (S$NEER) pada sifar peratus, bermula hari ini.

“Ini bukan dasar untuk menurunkan nilai mata wang domestik, tetapi hanya mengurangkan laluan kenaikan sederhana secara beransur-ansur ke atas dasar julat S$ NEER sedia ada,” kata MAS dalam Pernyataan Dasar Monetari setengah tahunnya.

“Tahap dasar julat dan tahap tumpuannya tidak berubah,” katanya.

MAS berkata tindakan ke arah pendirian dasar neutral peningkatan sifar peratus itu merupakan langkah susulan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kewangan itu masing-masing pada Januari dan Oktober 2015.

Pihak Berkuasa itu berkata keputusan pergerakan S$NEER dalam tempoh enam bulan sejak Oktober 2015 sebenarnya membabitkan peningkatan sifar peratus berbanding enam bulan sebelumnya.

“Kesan kumulatif pergerakan S$NEER lepas dan dasar baharu ini akan terus memastikan kestabilan harga dalam jangka sederhana,” katanya.

Menurut MAS, ekonomi Singapura dijangkakan berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada 2016 berbanding yang diunjurkan dalam semakan semula dasar pada Oktober.

“Inflasi Teras MAS juga juga dijangkakan meningkat secara beransur-ansur di sepanjang 2016 berbanding jangkaan, dan kini mungkin jatuh di bawah 2.0 peratus secara purata dalam jangka sederhana,” katanya.

Memetik anggaran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri hari ini, MAS berkata ekonomi Singapura mencatatkan pertumbuhan sifar peratus suku ke suku mengikut asas pelarasan bermusim tahunan pada suku pertama tahun ini, selepas peningkatan 6.2 peratus pada suku keempat 2015.