MAS ubahsuai sajian penerbangan

MAS ubahsuai sajian penerbangan

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) – Malaysia Airlines Bhd mengubah suai sajian makanan kelas ekonomi bagi penerbangan jarak jauh dan pendek dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pelanggan sebagai sebahagian daripada proses transformasi keseluruhan.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Simmons berkata menu baharu itu, akan menyaksikan peningkatan kualiti ramuan yang digunakan, saiz protein dengan lebih dua kali ganda di samping hidangan yang lebih besar dengan persembahan keseluruhan sajian lebih menarik.

Beliau berkata menu baharu yang dijadual dihidangkan pada bulan ini bagi kesemua penerbangan luar negara dari Kuala Lumpur adalah hasil daripada proses penambahbaikan sajian secara besar-besaran berdasarkan maklum balas pelanggan.

“Kami melabur 20 peratus lagi ke dalam kos penyediaan menu yang sempurna untuk memenuhi kepelbagaian pelanggan kami dalam Malaysia Airlines,” katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Contoh makanan kelas ekonomi yang dihidangkan dalam sebuah syarikat penerbangan. – AP
Contoh makanan kelas ekonomi yang dihidangkan dalam sebuah syarikat penerbangan. – AP

Simmons berkata pelaburan baharu untuk sajian juga akan menyaksikan pengenalan hidangan panas bagi penerbangan jarak pendek serta pilihan yang sesuai untuk laluan tertentu.

Beliau berkata lebih banyak sajian Malaysia akan dihidangkan dalam penerbangan antara Kuala Lumpur dan Australia termasuk kari dan rendang sebagai sebahagian langkah syarikat untuk menawarkan pengalaman Malaysia sebenar.

“Malaysia Airlines sedang melalui tempoh perubahan besar memandangkan kami membangun semula dari semua aspek untuk menjadi antara syarikat penerbangan terbaik di dunia, menumpukan penyediaan pengalaman pelanggan yang terbaik,” katanya.