MAS umum wajah baru Golden Lounges

MAS umum wajah baru Golden Lounges

KUALA LUMPUR, 29 April – Malaysia Airlines Bhd (MAS) mengubah suai Golden Lounge atau ruang istirahat, bagi menawarkan pengalaman baharu dan menarik kepada pelanggan sebelum menaiki pesawat.

Ketua Pegawai Komersial MAS Paul Simmons berkata reka bentuk baharu itu menggabungkan unsur-unsur unik di Malaysia dengan fungsi moden untuk benar-benar meningkatkan pengalaman perjalanan.

“Kami mahu ruang itu merangkumi rasa mewahnya perjalanan dengan syarikat penerbangan ini, gaya kontemporari hebat Malaysia untuk dialami apabila memasuki mana-mana MAS Golden Lounge di seluruh dunia.

“Kami amat teruja dengan projek ini yang merupakan fasa pengenalan produk dan perkhidmatan menarik kepada pelanggan kami dengan pengalaman perjalanan yang dipertingkat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ciri utama Golden Lounge baharu ialah konsep dapur demonstrasi yang membolehkan tetamu berinteraksi dengan tukang masak, dengan tumpuan utama kepada hidangan istimewa Malaysia dan antarabangsa.

Tetamu mempunyai pilihan untuk perkhidmatan bistro atau memakan snek segera, dengan pilihan tambahan untuk menjamu selera di ruang istirahat Kelas Pertama. Pengubahsuaian itu turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan WiFi untuk meningkatkan kelajuan serta soket sejagat tambahan untuk kemudahan pengguna.

Ciri-ciri baharu, yang dijangka tersedia pada akhir 2016, bermula dengan ruang istirahat serantau dan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Ini diikuti ruang istirahat Perniagaan dan kelas Pertama di KLIA terminal satelit dan London Heathrow, yang dijangka siap pada pertengahan 2017. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA