Masa depan ASEAN cerah

Masa depan ASEAN cerah

VIENTIANE, Laos, 6 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa, ASEAN kini berada dalam waktu yang penting, yang mana pada tahun lepas, Komuniti ASEAN telah ditubuhkan dan Wawasan 2025 telah diterima pakai, sekali gus membuka jalan bagi ASEAN untuk meneruskan kemajuan dan pembangunannya di masa depan.

Titah Baginda, Referendum Brexit baru-baru ini dan landskap geo-strategik yang sentiasa berubah akan menimbulkan satu cabaran kepada ASEAN, dan untuk itu, ia penting bagi ASEAN untuk dapat menunjukkan perpaduan dalam memberikan komitmen dan kekal relevan di rantau tersebut.

“Masa depan ASEAN kelihatan cerah dengan pertumbuhan ekonomi yang dianggarkan meningkat 4.7 peratus pada tahun depan walaupun keadaan global tidak menentu dan menjelang pada tahun 2030, ASEAN dijangka akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia,” tegas Baginda semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-28, yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Vientiane, hari ini.

Dalam titah, Baginda juga menekankan bahawa, ASEAN kini berada di ambang satu lagi revolusi perindustrian, di mana kemajuan teknologi berkembang dengan pesatnya dengan pembangunan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Apa yang penting sekarang, ASEAN perlu bersiap sedia dan tetap teguh dalam memberikan komitmen untuk menjadikan rantau ini lebih kompetitif. Apabila Komuniti Ekonomi ASEAN dilancarkan pada tahun lepas, masyarakat dari dalam dan luar rantau ini telah menaruh harapan yang tinggi.”

Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 di Viantiane, kelmarin. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 di Viantiane, kelmarin. – Gambar Infofoto

pg03_160907_LOGO Asean Summit

Menurut Baginda lagi, ASEAN masih perlu menggandakan usaha jika ianya mahu mengukuhkan kredibilitinya, sebagai tempat bagi menjalankan perniagaan walaupun dengan adanya kepentingan inisiatif ekonomi dan berpotensi untuk memberikan faedah kepada sektor swasta.Baginda bertitah, ASEAN mempunyai peluang untuk mengkaji cara untuk mempercepatkan pelaksanaan komitmen ekonomi berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Piagam ASEAN.

“Dengan membolehkan inisiatif-inisiatif bermula di kalangan negara-negara anggota, ianya boleh membantu membina keyakinan, dan negara-negara anggota yang lain boleh melaksanakannya sebaik sahaja mereka bersedia. Salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan melalui kaedah ini adalah Kad Perjalanan Perniagaan ASEAN,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Baginda menambah, ASEAN perlu mencari jalan untuk menguatkan semangat kebersamaan dan kekitaan. Baginda mencadangkan agar ASEAN menimbangkan cara-cara untuk meningkatkan kerjasama melalui skim usaha sama dalam projek-projek yang telah dikenal pasti. Baginda juga menekankan pentingnya kerjasama sosiobudaya dalam ASEAN. Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN perlu mencari berbagai cara untuk menjadikan masyarakat bangga dengan Komuniti ASEAN, dan keunikan di rantau ini yang hidup harmoni dan kaya dengan pelbagai budaya. Ini akan membantu mengukuhkan imej ASEAN di mata dunia.

Dalam hal ini, Baginda melahirkan perasaan gembira kerana Bandar Seri Begawan telah diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN untuk tempoh dua tahun akan datang, bertepatan dengan Tahun Melawat ASEAN pada tahun 2017. Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia percaya ASEAN akan terus berkembang menjadi komuniti yang dinamik dan responsif, berunsurkan prinsip-prinsip yang telah membentuk ASEAN hingga masa kini.

Keputusan yang dicapai melalui kesepakatan yang diamalkan oleh ASEAN telah terbukti amat penting dalamemastikan perpaduan dan kesepaduan rantau tersebut, dan ini mestilah terus dikekalkan.

ARTIKEL YANG SAMA