Masa depan Chicharito samar

Masa depan Chicharito samar

MONTREAL, 8 Jun (Reuters) – Penyerang Mexico, Javier Hernandez berkata dia masih berada dalam keadaan tenang mengenai masa depannya meskipun tidak mengetahui perancangan Manchester United terhadapnya setelah tempoh dia dipinjamkan kepada Real Madrid tamat pada hujung musim lalu.

“Sudah pasti ia berada dalam fikiran saya kerana ia mengenai masa depan saya,” kata pemain berusia 27 tahun itu ketika menyaksikan perlumbaan Formula Satu Kanada.

“Saya tidak tahu di mana saya akan kekal, apakah dengan salah satu daripada pasukan itu (United atau Real) atau pasukan lain. Jadi pada masa ini saya cuma menikmati percutian saya,” katanya.

Penyerang yang dikenali sebagai Chicharito itu menyertai Real secara pinjaman daripada United pada September lalu dan kelab Sepanyol itu cuba membuat tawaran kepadanya untuk terus kekal bersama mereka dengan yuran perpindahan 10 juta euro menurut akhbar Sepanyol.

Dua bulan lalu, Carlo Ancelotti berkata apabila Chicharito mempamerkan prestasi terbaik, pemain Mexico itu ‘tidak boleh dirunding’ namun keputusan akan berbeza selepas pengendali kelab itu diambil alih oleh Rafa Benitez.

Chicharito masih belum pasti mengenai masa depan bersama Madrid. - AFP
Chicharito masih belum pasti mengenai masa depan bersama Madrid. – AFP

Bagaimanapun, Hernandez berkata belum berbincang dengan Benitez namun selepas musim ini tamat tiada sebab lagi untuk dia kekal bersama Real kerana dia masih lagi milik United secara sah.

“Ancelotti merupakan bekas pengurus saya dan bukannya Rafa. Dia (Benitez) tidak perlu berbincang dengan saya sebab saya dipinjamkan oleh United.

“Namun saya masih tenang sebab sepanjang dua bulan saya bersama Real Madrid ia merupakan tempoh terbaik kerana saya telah mempamerkan aksi cemerlang dan saya sangat bersyukur. Ia memberi saya keyakinan kepada diri sendiri dan menjamin masa depan saya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA