Masa depan Gotze samar

Masa depan Gotze samar

BERLIN, 15 Mac (AFP) – Pengarah Sukan Bayern Munich Matthias Sammer mengesahkan masa depan wira Piala Dunia Jerman, Mario Gotze di Bayern Munich bakal ditentukan pada penghujung musim nanti.

“Kami akan menilai situasinya terlebih dahulu pada musim panas nanti. Kami juga perlu tahu apa yang pemain mahukan,” kata Sammer kepada majalah Kicker.

Gotze menjadi wira buat Jerman selepas jaringannya pada masa tambahan membolehkan negara itu merangkul Piala Dunia, namun dia dijangka tidak akan diturunkan pada aksi timbal balik kedua antara Bayern Munich menentang Juventus, awal pagi esok.

Pemain berusia 23 tahun itu masih memiliki kontrak hingga Jun 2017, namun dia hanya bermain lapan perlawanan musim ini selepas diketepikan selama lima bulan akibat kecederaan pangkal paha dan hanya kembali beraksi menentang Werder Bremen, hujung minggu lalu.

Masa depan Goetze bersama Bayern Munich akan ditentukan pada hujung musim nanti. – Reuters
Masa depan Goetze bersama Bayern Munich akan ditentukan pada hujung musim nanti. – Reuters

Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola menyifatkan Gotze sebagai ‘pemain istimewa’ namun itu belum cukup membuatkan dia menjadi pilihan utama Guardiola yang menyaksikan dia menjadi pilihan ketiga di belakang Arturo Vidal dan juga Thiago Alcantara.

Ketika diminta mengulas berhubung masa depannya di kelab itu, dia hanya gembira kerana dapat beraksi semula pada perlawanan menentang Werder Bremen itu.

“Selepas begitu lama tidak beraksi, saya gembira apabila dapat kembali bermain. Apa yang penting ialah saya berada pada keadaan yang baik,” katanya yang mengakui dirinya masih belum cergas sepenuhnya buat masa ini.

“Banyak faktor yang perlu diambil kira apabila saya mahu mengambil keputusan mengenai masa depan saya di sini.”

ARTIKEL YANG SAMA