Masalah bekalan air di 3 kawasan DUN akan diatasi

Masalah bekalan air di 3 kawasan DUN akan diatasi

TAWAU, 4 Feb – Masalah tekanan air yang rendah di tiga lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas akan di atas secepat mungkin, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata perkara berkenaan sudah dikemukakan kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Kawasan terlibat ialah, Tinagat, Kau Sing dan Ranggu. Pada masa ini, ketiga-tiga kawasan berkenaan mendapat bekalan air dari kawasan bandar,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hamper dan angpau kepada pemimpin masyarakat Cina kawasan Parlimen Tawau sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Katanya memandangkan kawasan Balung mempunyai bekalan air yang berlebihan, Jabatan Air Negeri akan mendapatkan bekalan dari Balung untuk disalurkan ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Tawfiq mengingatkan mana-mana penduduk di kawasan berkenaan agar menghubunginya sekiranya bekalan air mereka terputus bagi memudahkan bekakan air menggunakan lori dihantar ke kawasan mereka. – Bernama