Masalah enjin, terlebih berat mungkin punca nahas

Masalah enjin, terlebih berat mungkin punca nahas

TOKYO, 28 Julai (AFP) – Masalah enjin dan berat berlebihan adalah antara punca kemungkinan kapal terbang kecil terhempas di pinggir bandar Tokyo yang mengorbankan dua orang penumpang dan seorang wanita di darat, menurut laporan hari ini.

Pesawat udara satu enjin itu bersama juruterbang berusia 36 tahun dan empat orang penumpang di dalamnya terhempas pagi Ahad lalu sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang Chofu di pinggir bandar Jepun.

Lima orang lagi tercedera dan polis sedang menyiasat nahas itu – yang mengakibatkan rumah dan kereta terbakar – atas dakwaan kecuaian profesional.

Nozomi Suzuki, 34 tahun, yang baru-baru ini berpindah ke sebuah rumah yang telah musnah oleh kapal terbang itu, dilaporkan cuba menyelamatkan 10 ekor anjingnya apabila dia dijilat api.

Bangkai badan kapal terbang yang hangus terbakar dalam keadaan terbalik di kediaman Suzuki yang terbakar.

Media Jepun, yang memetik sumber polis, melaporkan bunyi luar biasa yang datangnya dari kapal terbang itu sebelum ia terhempas, membuatkan pihak berkuasa mensyaki masalah enjin atau beberapa jenis kepincangan lain.

Rakaman video yang diperolehi oleh pihak polis dari para saksi menunjukkan kapal terbang itu terbang pada altitud rendah yang luar biasa selepas berlepas, lapor agensi berita Kyodo.

Polis enggan mengesahkan laporan berita itu.

Kapal terbang itu dalam penerbangan menuju pulau Izuoshima, kira-kira 100 kilometer selatan tengah Tokyo.

ARTIKEL YANG SAMA