Masalah jantung punca Ekeng maut

Masalah jantung punca Ekeng maut

BUCHAREST, 12 Mei (AFP) – Pemain antarabangsa Cameroon, Patrick Ekeng, yang maut ketika beraksi buat Dinamo Bucharest minggu lalu, mengalami masalah jantung yang serius, menurut keputusan bedah siasat yang dikeluarkan, semalam.

Pemain berusia 26 tahun itu rebah selepas tujuh minit dibawa masuk sebagai pemain gantian pada pertemuan Liga Romania menentang Viitorul Constanta, Jumaat lalu. Dia dikejar ke hospital namun gagal diselamatkan oleh kakitangan perubatan.

Institut Forensik Bucharest melaporkan dalam kenyataannya bahawa tonggak pertahanan tengah itu mengalami masalah jantung (membesar) yang terhasil daripada salur ventrikel kiri yang membesar dan keadaan arteri yang tidak normal. “Dia mempunyai masalah jantung yang serius,” kata Abdo Salem kepada agensi berita Romania, Agerpres.

Ekeng menjalani ujian kesihatan apabila menyertai kelab Romania itu pada jendela perpindahan Januari lalu tetapi mereka gagal mengesan sebarang masalah.