Masalah kelaparan di kawasan luar bandar AS

Masalah kelaparan di kawasan luar bandar AS

STORM LAKE – Storm Lake, Iowa, memberikan gambaran ekonomi yang sihat, sebuah tempat di mana terdapat banyak peluang pekerjaan, kadar pengangguran sekitar 3 peratus, kedai-kedai mengisi ruang bangunan lama dan kanak-kanak menunggang basikal di sepanjang laluan pejalan kaki.

Tetapi terdapat masalah yang semakin menonjol di barat laut Bandar Iowa, sejumlah besar keluarga dan penduduk tidak mempunyai wang secukupnya untuk menyara diri atau anak-anak mereka. Isu itu masih berterusan meskipun kadar kemiskinan kebangsaan telah menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan harga-harga kebanyakan makanan asasi juga menurun sedikit.

Storm Lake memberikan respons dengan usaha kesukarelawan besar-besaran: memberi makanan-makanan seperti telur, bijirin, sayur-sayuran, jus dan sebagainya di beberapa buah ruang makanan, di sepanjang jalan-jalan bandar dan di sebuah bangunan kosong di pinggir bandar.

”Anda bergelut untuk meneruskan hidup, keadaan bajet yang tidak mencukupi,” kata Hermelinda Gonzalez, 41, yang bergantung pada makanan dari ruang makanan yang dihantar secara bulanan bagi memberi tujuh orang anaknya meskipun suaminya bekerja sebagai pekerja binaan.

“Saya tidak tahu apa yang kami akan lakukan tanpa bantuan itu,” katanya, sementara para sukarelawan memasukkan kotak-kotak ke dalam keretanya dan anak lelakinya yang berusia setahun duduk di bahagian belakang.

Kelihatan penduduk di Storm Lake, Iowa, memasukkan bekalan makanan yang ditaja oleh Sekolah Daerah Storm Lake. – AP
Kelihatan penduduk di Storm Lake, Iowa, memasukkan bekalan makanan yang ditaja oleh Sekolah Daerah Storm Lake. – AP
Pengetua sekolah menengah, Jay Slight, memasukkan kotak yang dipenuhi dengan makanan ke dalam sebuah kereta. – AP
Pengetua sekolah menengah, Jay Slight, memasukkan kotak yang dipenuhi dengan makanan ke dalam sebuah kereta. – AP

Kilang pemprosesan, Tyson Food, merupakan majikan terbesar Storm Lake, lebih daripada 2,700 orang, sebahagian besarnya adalah imigran yang tertarik dengan gaji AS$15 sejam atau lebih. Tetapi sebahagian besar pekerja mempunyai keluarga yang besar, dan gaji dihabiskan membeli barangan dapur, kos pemanas dan penyejuk, serta kadar sewa yang tinggi disebabkan permintaan yang meningkat bagi perumahan yang tidak selari dengan pembinaan baru.

Tidak mendapat akses makanan yang mencukupi adalah lebih teruk di daerah-daerah berbanding di bandar-bandar besar, 64 peratus di daerah-daerah dengan kadar tertinggi tidak ada jaminan makanan bagi kanak-kanak adalah di kawasan luar bandar, menurut data dari kumpulan anti-kelaparan kebangsaan, Feeding America.

Sementara statistik persekutuan menunjukkan pendapatan dalam kalangan 10 peratus termiskin bagi keluarga AS meningkat 7.9 peratus pada tahun lepas dan kadar penduduk Amerika dalam kemiskinan mula menurun daripada 14.8 menjadi 13.5 peratus, bandar-bandar kecil kebiasaannya ketinggalan dari segi peluang pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan, terutamanya di Upper Midwest, menurut Gary Green, seorang profesor di Universiti Wisconsin-Madison yang membuat kajian mengenai isu kawasan luar bandar.

Menurutnya lagi, situasi itu sangat sukar khususnya bagi imigran, kerana masyarakat di sana kekurangan rangkaian sokongan yang boleh didapati di bandar-bandar besar, dan jika terdapat perbelanjaan yang tidak disangka-sangka atau pengurangan dalam waktu pekerjaan, tidak ada saudara mara yang tinggal berdekatan untuk membantu. Itu menjadi isu kelaparan semakin sukar untuk diselesaikan di kawasan-kawasan luar bandar.

Ia dapat menjelaskan kenapa sebuah ruang makanan sahaja, Upper Des Moines Opportunity, yang menyediakan makanan kepada kira-kira 3,200 orang di Storm Lake dan masyarakat berdekatan.

“Sebahagian besar rak-rak makanan kosong,” kata seorang pekerja di ruang makanan itu, Melissa Keller.

Kotak yang berisi dengan bekalan makanan sedia untuk diambil. – AP
Kotak yang berisi dengan bekalan makanan sedia untuk diambil. – AP
Anak lelaki Shirley Ann Peter menunggu di ruang makanan Upper Des Moines Opportunity. – AP
Anak lelaki Shirley Ann Peter menunggu di ruang makanan Upper Des Moines Opportunity. – AP

Mencari pekerjaan bukanlah satu masalah di Storm Lake. Mendapatkan satu pekerjaan yang cukup membayar semua bil itu adalah masalahnya.

Shirley Ann Peter merupakan antara mereka yang bergelut untuk memenuhi keperluan seharian. Beliau membesar di Micronesia, berpindah ke Storm lake bersama bapanya, yang tertarik dengan kerja pembungkusan, dan mula bekerja di sebuah kilang ketika masih berada di sekolah tinggi. Teman lelaki Shirley juga menjaga empat orang anak mereka, berusia enam hingga lapan tahun, tetapi selepas membayar sewa bulanan sebanyak AS$600 dan perbelanjaan lain, mereka perlu mendapatkan makanan dari sebuah ruang makanan amal setiap minggu.

“Anak-anak selalu menangis mengenai apa yang mereka mahu dan saya tidak mampu memberinya. Ia sangat sukar,” kata Shirley, 24.

Pada tahun lepas keadaan menjadi semakin buruk di Storm apabila wabak selesema burung telah menyebabkan pengeluar telur memecat para pekerjanya, menurut menteri yang sudah bersara, Duane Queen.

Lebih banyak ruang makanan dibuka di Storm Lake dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dan Food Bank Iowa telah menggandakan lagi penghantaran makanan sejak tahun 2012 kepada lebih daripada 90,000 paun dalam tahun fiskal yang lepas. Perangkaan itu tidak mengira derma yang dibuat oleh pihak persendirian.

Selepas beliau mendengar ruang makanan bergelut untuk menyediakan makanan secukupnya, Queen bekerjasama dengan ahli-ahli kelab Kiwanis untuk menganjurkan satu tapak pengagihan makanan di sebuah bekas kedai perkakas.

“Saya hanya mahu membantu orang,” kata Queen. – AP

ARTIKEL YANG SAMA