Masalah mikrosefali dipandang serius

Masalah mikrosefali dipandang serius

IPOH, 3 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius masalah mikrosefali kepada anak damit yang dikaitkan dengan jangkitan Zika pada wanita hamil yang dilaporkan berlaku di Thailand.

Menterinya Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata kes mikrosefali tersebut iaitu kecacatan pada anak damit baru lahir yang menyebabkan saiz kepala lebih kecil daripada normal yang boleh membawa kepada masalah perkembangan serius, adalah yang pertama dilaporkan di Asia Tenggara. “Pihak Thailand memberitahu mereka berpendapat penyakit itu berkaitan dengan virus Zika. Ini merupakan kes yang serius, jadi kita akan meningkatkan lagi keperluan untuk pengawalan dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bangunan Baharu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gunung Rapat di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Dr. Subramaniam berkata bagi mengelak penularan virus Zika, ia memerlukan kerjasama daripada rakyat untuk mengawal pembiakan nyamuk Aedes walaupun langkah pencegahan telah dilakukan kementerian.

Beliau turut menasihati kaum wanita khususnya yang ingin mengandung atau sudah mengandung agar mendapatkan nasihat dan membuat pemeriksaan doctor terlebih dahulu.

Menurut Channel NewsAsia, keputusan awal daripada kajian di Brazil mengaitkan jangkitan Zika pada wanita hamil dengan masalah mikrosefali pada anak damit mereka.

Mengenai perkembangan kes jangkitan Rotavirus dan Gastroentritis Akut (AGE) membabitkan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort, Dr Subramaniam berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk denda terhadap pengurusan taman tema air itu sekiranya didapati berlaku kecuaian. – Bernama