Masalah PATI terlalu kompleks

Masalah PATI terlalu kompleks

LAHAD DATU, 14 Jun (Bernama) – Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah terutama di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) ‘terlalu kompleks’ yang diwarisi sejak berpuluh tahun lepas, kata Pengarah Komponen Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi.

Beliau berkata bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah itu, tempoh satu atau dua tahun tidak memadai kerana memerlukan perancangan teliti dan penglibatan semua pihak secara holistik.

“Kehadiran PATI yang banyak ini merupakan ancaman besar kepada Sabah kerana ada dalam kalangan mereka jadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan, terutama penculikan.

“Susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI (RCI) di Sabah, Esscom dipertanggungjawab mengemudi operasi memburu PATI di Esszone termasuk mengekang penculikan … namun bukan mudah untuk mensifarkan jenayah penculikan selagi ada musuh dalam selimut … masalah PATI perlu diselesaikan secara bersama,” katanya.