Masalah penderaan rumah tangga membimbangkan

Masalah penderaan rumah tangga membimbangkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Mangsa keganasan atau penderaan rumah tangga diseru untuk tidak terus mendiamkan diri dan membiarkan diri mereka terus diseksa serta didera.

Mereka harus berani mengambil langkah untuk melaporkan penderaan dan keganasan yang telah dilakukan terhadap mereka, kata Peguam Syarie dari Yusof Halim & Partners, Awang Mohammad Shahray bin Zulkifli.

Katanya, sering kali alasan yang diberikan oleh mangsa keganasan atau penderaan rumah tangga, mengapa mereka berdiam diri adalah kerana perasaan sedih kepada pasangan mereka yang melakukan penderaan berkenaan.

“Mereka merasa kasihan terhadap suami mereka dan takut jika mereka membuat laporan, suami mereka akan dibuang kerja atau dipenjarakan, kasihan kepada anak-anak serta kasihan kepada suami mereka iaitu pendera.

“Bagi saya, ia alasan yang kurang munasabah kerana jika mereka tidak mempunyai rasa kasihan dan sanggup melakukan penderaan terhadap mangsa, mengapa mangsa perlu kasihan kepada pendera itu.”

Awang Mohammad Shahray semasa menyampaikan ceramahnya.
Awang Mohammad Shahray semasa menyampaikan ceramahnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara ringkas bersama Media Permata semasa Ceramah Sesi Bicara Undang-Undang Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini. Menurut Awang Mohammad Shahray, masalah keganasan dan penderaan rumah tangga yang berlaku pada masa ini adalah membimbangkan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, terdapat empat sebab utama berlakunya keganasan dan penderaan rumah tangga iaitu masalah ekonomi seperti suami yang tidak bekerja dan mengharapkan wang daripada isteri yang bekerja, kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga, campur tangan ahli keluarga dalam rumah tangga dan keterlibatan dengan penyalahgunaan dadah atau pengaruh alkohol.

Beliau berkata, terdapat mangsa-mangsa keganasan atau penderaan rumah tangga yang kebanyakannya wanita mendiamkan diri daripada melaporkan keganasan atau penderaan yang dilakukan oleh pasangan mereka kepada pihak yang berkuasa sehingga ada yang menjadi mangsa penderaan selama belasan tahun.

Jika mangsa penderaan itu terus berdiam diri, ia bukan sahaja boleh memudaratkan diri mereka tetapi perbuatan ganas yang dilakukan di hadapan anak-anak itu, boleh memberikan kesan psikologi kepada anak-anak di mana anak-anak mungkin turut menjadi mangsa penderaan atau mereka apabila dewasa nanti juga boleh menjadi seorang pendera atau menjadi mangsa penderaan, ujar beliau.

Manakala itu, dalam ceramahnya bertajuk ‘Penderaan Rumah tangga: Berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam di Brunei’, Awang Mohammad Shahray berkata, penderaan yang berlaku dalam rumah tangga semakin membimbangkan di mana penderaan terus berlaku kerana mangsa terus diam di mana terdapat kes yang menunjukkan mangsa didera selama belasan tahun.

Beliau berkata, wujudnya Akta Undang-undang Keluarga Islam, Akta Penggal 217 memberi jalan keluar kepada isteri yang menjadi mangsa dera di mana undang-undang itu diwujudkan supaya hak mangsa dapat diperjuangkan di mahkamah syariah.

Katanya, mangsa dera boleh mengalami kecacatan mental, penglihatan kabur, mengalami sakit kepala yang berterusan dan mungkin kesakitan kekal kepada tubuh badan mereka.

Di samping itu, mangsa dalam kalangan wanita mengandung mungkin melahirkan anak yang tidak cukup bulan dan berkemungkinan anak yang dikandungkan akan mengalami kecacatan.

Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa penderaan bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada anak-anak yang mungkin cenderung kepada perbuatan yang kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah atau berkemungkinan mengulangi apa yang dilakukan oleh bapa mereka serta membesar menjadi pendera.

“Perlu diingat juga, penderaan yang dilakukan boleh membawa maut dan mangsa yang didera mempunyai kecenderungan membunuh diri.”

Oleh itu, Awang Mohammad Shahray menekankan lagi bahawa mangsa penderaan tidak sepatutnya terus berdiam diri, mereka mesti membuat laporan mengenai penderaan dan keganasan terhadap diri mereka supaya membolehkan pelaku atau pendera berkenaan dihukum berdasarkan kepada undang-undang negara yang sedia ada, sama ada di mahkamah syarah atau di mahkamah sivil.

Undang-undang itu digubal untuk melindungi hak semua termasuk mangsa keganasan rumah tangga dan isteri serta suami harus melayani pasangan mereka dengan rasa hormat.

Pada masa yang sama, wanita juga perlu tahu hak mereka supaya tidak terus menjadi mangsa dera secara berterusan. Selain daripada itu, masyarakat perlu juga mengambil berat mengenai isu keganasan rumah tangga di mana jika mereka terdengar kemungkinan berlaku penderaan terhadap isteri, suami dan anak-anak, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan.

“Berkahwin adalah untuk mendapatkan kasih sayang bukan dihiasi dengan pertengkaran dan penderaan.”