Masalah penyaluran gas punca gangguan elektrik di Sabah

Masalah penyaluran gas punca gangguan elektrik di Sabah

KOTA KINABALU, 2 Ogos – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan bahawa gangguan bekalan elektrik di kebanyakan kawasan di Sabah hari ini disebabkan masalah pada sistem penyaluran gas di Terminal Gas Sabah (SOGT) yang terpelantik.

SESB dalam satu kenyataan berkata masalah berkenaan berlaku ketika SOGT sedang menyalurkan gas kepada beberapa stesen janakuasa elektrik bebas (IPP) di Kimanis.

“Kejadian berkenaan turut mengakibatkan set-set jana kuasa di stesen IPP berkenaan tidak dapat menjana elektrik buat sementara waktu. Namun bekalan elektrik telah dipulihkan secara berperingkat bermula pada pukul 11:10 pagi tadi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, insiden berkenaan merupakan kali kedua dalam tempoh enam hari.

Kawasan yang mengalami gangguan elektrik sejak 10:40 pagi tadi ialah sekitar kawasan Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Beaufort, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Wilayah Persekutuan Labuan. – Bernama