Masalah sempadan, perairan umpama ‘bom jangka’

Masalah sempadan, perairan umpama ‘bom jangka’

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) – Isu sempadan dan perairan Malaysia yang mudah dibolosi pihak dan anasir luar boleh menjadi ‘bom jangka’ terhadap keselamatan negara jika gagal ditangani segera, menurut penganalisis dan pakar aspek keselamatan.

Menurut mereka, kerajaan perlu mengkaji, mengambil pendekatan baharu dan membuat penambahbaikan terhadap kawalan keselamatan di sempadan seperti membina sekatan, benteng, pagar dan menggunakan teknologi terkini ‘drone’ untuk pengawasan.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Datuk Kamaruddin Md Ali berkata langkah keselamatan di kawasan sempadan dan perairan negara dilihat tidak begitu berkesan selepas peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas.

“Sebelum peristiwa serangan di Lahad Datu, warga Filipina boleh datang pada bila-bila masa tanpa sebarang sekatan manakala rondaan pasukan keselamatan disempadan utara tanah air juga tidak begitu berkesan susulan masih ada lorong-lorong tikus yang membolehkan rakyat Malaysia dan Thailand keluar masuk.

“Kerajaan harus meneruskan projek memagar kawasan sempadan (darat) dengan menggunakan tambahan alat teknologi seperti pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) dan pemerhatian dengan peralatan drone dengan kadar segera,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Kamaruddin berkata kegagalan kawalan kawasan sempadan darat semakin jelas dengan kes terbaru penemuan 28 kem sementara yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia dan 139 kubur mangsa terbabit di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.

“Anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan hendaklah daripada mereka yang benar-benar jujur, amanah serta bertanggungjawab (bagi mengelakkan penyelewengan dan bekerjasama dengan sindiket),” katanya.

Selain kemasukan pendatang tanpa izin dan pelarian melalui jalan darat, Malaysia turut berdepan masalah sama melibatkan laluan laut. Pada 10 Mei lepas sebanyak 1,158 pendatang dari Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat di Langkawi.

Lebih 7,000 lagi pendatang dan pelarian dikatakan berada di laut dalam usaha untuk mendarat di Malaysia.

Di Sabah pula berhadapan dengan pencerobohan puak militan dari selatan Filipina.

Walaupun kerajaan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai usaha keselamatan susulan pencerobohan di Lahad Datu, kes-kes penculikan di kawasan itu yang dipercayai melibatkan penjenayah dari Filipina terus berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA