Masalah tanah factor kelewatan Pembinaan MRSM

Masalah tanah factor kelewatan Pembinaan MRSM

KOTA KINABALU, 29 Feb (Bernama) – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masalah perolehan tapak atau tanah merupakan antara faktor pembinaan beberapa buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di beberapa negeri mengalami kelewatan.

Justeru, katanya, apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengumumkan pembinaan sesuatu MRSM, tidak bermakna ia terus boleh dilaksanakan kerana ia perlu melalui pelbagai proses termasuk penyediaan tapak atau tanah yang perlu dipohon daripada pihak kerajaan negeri.

“Tahun lepas saya umumkan MRSM Integrasi di Labuan sebagai contoh. MRSM Integrasi ini pelajarnya ialah daripada kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi sehingga hari ini, mereka masih lagi cuba mendapatkan tanah. Walaupun sudah umum, tetapi tidak semestinya sudah umum terus boleh jadi.

“Prosesnya banyak, tanah dan sebagainya. Masalah tanah belum selesai lagi,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 233 pegawai dan kakitangan agensi-agensi di bawah KKLW peringkat negeri Sabah dan Labuan di sini kelmarin. Pada tahun ini, seramai 2,976 penerima APC di bawah KKLW di seluruh negara.

Katanya pada masa ini, kerajaan cuma mampu membina antara tiga hingga empat MRSM setahun namun pembinaan kemudahan seperti itu boleh dipercepatkan sekiranya ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan negeri yang secara sukarela menawarkan diri untuk membina kemudahan berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan MRSM di Ranau, Sabah dan di Bintulu, Sarawak boleh dilaksanakan lebih cepat kerana kedua-duanya akan dibina oleh Petronas dan GLC yang terlibat dalam menyediakan kemudahan MRSM akan diberi keistimewaan dari segi pemilihan kemasukan pelajar ke MRSM di bawah tajaan mereka.

Katanya pada tahun ini, lima lagi MRSM akan dibina oleh agensi di bawah KKLW, tidak termasuk MRSM yang ditaja GLC, sebagai tambahan kepada kira-kira 50 MRSM sedia ada di seluruh negara dengan purata jumlah pelajar setiap MRSM ialah kira-kira 500 orang murid.