Masih ada tempat tidak diurus dengan sempurna

Masih ada tempat tidak diurus dengan sempurna

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan kekesalan kerana masih terdapatnya tempat-tempat di bandar atau di luar bandar yang tidak diurus dengan sempurna.

Baginda bertitah demikian semasa menyentuh tentang Jabatan Bandaran atau mana-mana jua pihak yang berkaitan dengan tanggungjawab memelihara kesejahteraan dan kebajikan orang ramai pada lawatan kerja Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya kelmarin.

“Misalnya, kita masih menyaksikan orang-orang yang berjaja sesuka hati tanpa mengambil kira perkara kebersihan dan keselesaan.

“Barang-barang juga dilonggok tidak tersusun malah tangga tempat turun naik pun juga sudah jadi tempat meletakkan barang-barang. Ini sangatlah menyakitkan mata memandang.

Baginda Sultan berkenan mendengar sembah penerangan daripada seorang pegawai semasa lawatan kerja ke KHEDN, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan mendengar sembah penerangan daripada seorang pegawai semasa lawatan kerja ke KHEDN, kelmarin.

“Perkara ini malah berlaku di   dalam bandar, kalau kita pergi ke Tamu Kianggeh, khasnya pada hari Jumaat dan Ahad, kita akan mendapati keadaan seperti itu,” titah Baginda.

Semasa berkenan mengadakan lawatan ke Tamu Kianggeh baru-baru ini, Baginda turut melahirkan rasa tidak senang semasa menyaksikan keadaan di sana yang  tidak tersusun berselongkaran, tempat laluan yang sukar dilalui termasuk barang-barang yang diletakkan sesuka hati tanpa menghiraukan keselesaan orang lain yang berhampiran.

Pada lawatan tersebut juga, Baginda turut melihat keadaan sebuah bangunan baharu di sebelah belakang tamu tersebut yang digunakan untuk menempatkan sebahagian daripada peniaga-peniaga.

Menurut Baginda, bangunan tersebut kelihatan ‘gabah-gabah’, tiangnya pula besar-besar tidak menampakkan kegunaannya yang bersesuaian dan keadaannya juga berselongkaran. Di sebelah tepi bangunan tersebut titah Baginda, ada satu ruang kosong yang tidak diketahui kegunaannya, selain berselerak dengan sampah dan pecahan-pecahan batu di sana-sini sedang di ruang bangunan berhampiran ada orang menjual kuih ‘apam balik’.

“Di manakah pihak berkuasa bandaran di sini? Tidak pernahkah mereka nampak keadaan seperti ini? Kalau nampak mengapa dibiarkan tanpa ditangani?” soal Baginda.

Menyebut lagi tentang bangunan ‘gabah-gabah’ ini titah Baginda, tentu perbelanjaannya pun besar juga tetapi tidak sepadan dengan keperluan dan kesesuaian. Inikah cara perancangan dibuat, asal membuat tanpa dikaji masak-masak akan kesesuaiannya.

Baginda seterusnya bertitah, di samping bangunan tersebut, turut dibina pagar konkrit untuk memisahkan dengan perkuburan di mana Baginda difahamkan pagar konkrit berkenaan memberi peluang kepada orang-orang asing untuk berkumpul di dalam kawasan perkuburan pada setiap hari Jumaat dan hari Ahad khasnya dan akan bertambah ramai lagi pada hari-hari cuti awam.

Menurut pihak-pihak yang mengetahui perkara ini titah Baginda, mereka yang berkumpul itu adalah terdiri daripada pekerja-pekerja asing, lelaki dan perempuan, manakala menurut peniaga-peniaga yang ada di situ, kejadian ini sangatlah tidak menyenangkan mereka kerana walaupun adanya usaha untuk melarang perkumpulan ini tetapi tidak berjaya. Sehingga peniaga-peniaga pernah membuat aduan kepada pihak-pihak berkuasa seperti polis dan pihak bandaran, namun kejadian tetap tidak berubah bahkan semakin menjadi-jadi.

Titah Baginda, apa yang lebih membimbangkan menurut peniaga, mereka ini kadang-kadang mengganggu peniaga-peniaga dengan kelakuan mereka dalam keadaan mabuk.

“Soal beta, di manakah budi bicara pihak berkuasa dalam perkara ini? Mana langkah kita untuk memelihara kesucian tanah perkuburan, dan mana langkah kita untuk menjamin ketenteraman dan keselamatan? Apakah kita berpendapat orang-orang mabuk di tanah perkuburan itu tidak mengancam keselamatan?

“Tidak mungkinkah di samping mabuk mereka juga ada merancang perkara-perkara yang lebih berbahaya kepada negara,” titah Baginda lagi. Menurut Baginda, ini menandakan ia tidak ditangani kerana jika ia ditangani sekurang-kurangnya nampak juga perubahan ke arah yang lebih baik tetapi keadaan di tamu nampaknya semakin teruk, ia berjalan sejak sebelum merdeka lagi sampailah ke era merdeka dan jika tidak ditegur atau diarah untuk melakukan sesuatu, maka ia tidak akan berubah.

Dalam pada itu, Baginda turut bertitah menyarankan pihak-pihak yang berkenaan untuk memantau keadaan Pasar Jerudong yang tidak terurus dan kotor.

Menurut Baginda, Pasar Jerudong dilengkapi dengan bangku-bangku untuk kemudahan peniaga-peniaga ikan, sayur-mayur dan buah-buahan tetapi apa yang terjadi kepada bangunan ini sekarang hanya bangku-bangku untuk menjual ikan sahaja yang masih berfungsi sedang bangku-bangku untuk sayur-mayur dan buah-buahan telah lama kosong.

Ini titah Baginda disebabkan oleh peniaga-peniaga sendiri yang mengosongkan dengan membawa barang-barang mereka keluar ke kaki-kaki lima bangunan sehingga menyukarkan lalu-lalang di situ kerana diisi dengan gerai-gerai sementara dan tempat-tempat meletakkan barang-barang jualan.

Menurut para peniaga di situ titah Baginda, tempat tersebut adalah gelap, tersorok dan kurang udara bersih yang menjadikannya tidak berpotensi untuk menarik pelanggan.

“Ini juga berjalan sampai berlarut-larut. Di manakah pihak-pihak yang berkenaan? Mengapa tidak dijenguk-jenguk berapa lama sudah keadaan ini berjalan, apakah lagi yang ditunggu? Diminta respons daripada siapa saja yang berkenaan,” titah Baginda lagi.

ARTIKEL YANG SAMA