Masih disiasat

Masih disiasat

KOTA KINABALU, 10 Jun – Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata empat mangsa culik dari Sarawak yang dibebaskan Rabu lepas oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, masih berada di Sabah untuk diambil keterangan susulan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil keterangan terhadap kesemua mangsa culik itu sejak semalam, sejurus selepas mereka mendarat di Kota Kinabalu.

“Sekarang kita masih membuat siasatan susulan dan kita berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi (mengenai pembebasan mangsa) yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya lagi.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, berkata demikian selepas majlis penyerahan kuih raya kepada warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, yang diculik di perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lepas. – Bernama