Masih lagi jadi pilihan ramai

Masih lagi jadi pilihan ramai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Walaupun zaman semakin maju dengan teknologi terkini, pembuatan bingkai gambar dan cenderahati masih lagi menjadi pilihan ramai.

Kedai bingkai gambar Hin Wing Frame Maker di Jalan Sultan, di ibu negara adalah antara kedai yang menjadi pilihan untuk mengabadikan foto dalam bentuk bingkai untuk jadi hiasan dinding.

Pemilik kedai, Julina Choi Y.F. semasa ditemui wartawan Media Permata berkata bahawa kedai tersebut sudah beroperasi 30 tahun yang lalu dan sehingga hari ini masih lagi menerima tempahan daripada orang ramai.

Melalui lorong kecil di Jalan Sultan itu, pastinya orang yang menggunakan laluan tersebut terpegun melihat gambar-gambar lama hingga yang terkini memenuhi ruang dinding di kedai berkenaan ditambah dengan bingkai gambar yang menambahkan lagi keindahan sebuah gambar.

Beliau menjelaskan, kedai ini sebelumnya dikendalikan oleh abangnya dan peralatan yang digunakan lebih kepada peralatan lama tanpa bantuan mesin.

Gambar-gambar lama dilengkapi bingkai gambar yang mencantikkan lagi gambar tersusun rapi digantung di kedai berkenaan.
Gambar-gambar lama dilengkapi bingkai gambar yang mencantikkan lagi gambar tersusun rapi digantung di kedai berkenaan.
Pekerja mempersiapkan tempahan daripada pelanggan.
Pekerja mempersiapkan tempahan daripada pelanggan.

“Pada masa ini, berdasarkan perkembangan zaman yang semakin maju, perubahan dibuat untuk memberi hasil yang memuaskan kepada pelanggan dengan mengambil dua pekerja di samping membeli peralatan mesin untuk mempercepatkan penghasilan,” katanya.

Menurutnya, “produk bagi pembuatan bingkai seperti kayu dan cermin didatangkan dari Malaysia.

“Jika dahulu, permintaan orang ramai terhadap pembuatan bingkai gambar dan kotak cenderahati amat mencabar kerana pada waktu itu penghasilan hanya dilakukan dengan menggunakan tangan daripada memotong hingga menukul.

“Tapi pada masa ini, disebabkan banyak yang telah berpindah dari Kampung Ayer, permintaan agak berkurangan tetapi ia tidak menjejaskan perniagaan kami,” jelasnya.

“Ini kerana yang dahulunya menggunakan perkhidmatan kami masih setia dan kekal bersama kami, malahan generasi mereka turut mendapatkan perkhidmatan kami terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA