Masih tiada berita rakyat Malaysia hilang di Nepal

Masih tiada berita rakyat Malaysia hilang di Nepal

KATHMANDU, 3 Mei (Bernama) – Tiada perkembangan atau maklumat terbaharu mengenai dua rakyat Malaysia yang dilapor hilang di Nepal sebelum berlaku gempa bumi di negara itu pada 25 April lalu.

Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di sini, Fadli Adilah berkata sehingga lewat petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat serta polis Nepal tidak menerima sebarang maklumat lanjut mengenai mereka.

Ahli perniagaan Dennis Lee Thian Poh, 47, dilapor hilang semasa menyusuri Khopra Danda hingga Deurali pada 5 April sementara Sai Jaya Raj Anthony, 37, hilang sejak 21 April.

Keluarga Anthony memaklumkan kepada pihak kedutaan bahawa beliau memasuki Nepal melalui New Delhi dan kali terakhir mereka berhubung dengannya ialah dari Langtang, kawasan trekking popular selepas Annapurna dan Everest.

Fadli berkata beliau sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Nepal yang memaklumkan beberapa kejadian tanah runtuh dilapor berlaku di kedua-dua kawasan itu sebelum gempa bumi.

Nepal merupakan destinasi popular bagi pendaki gunung Malaysia terutama Annapurna, Lantang dan Everest.

Sementara itu lima pendaki dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masih berharap untuk mendaki Gunung Everest. Ketua pasukannya, Azim Afif berkata mereka akan kembali ke pangkalan hadapan apabila pihak berkuasa memberi kebenaran.

Larangan mendaki dikeluarkan selepas 18 pendaki maut ekoran tanah runtuh susulan gempa bumi.

Kumpulan UTM itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Thibhuvan di sini pada Jumaat malam dengan helikopter khas. Azim, 27, yang ditemui di lapangan terbang berkata mereka berazam untuk menamatkan pendakian selepas pendakian mereka tahun lalu dibatalkan selepas kematian 18 Sherpa berikutan kejadian tanah runtuh.

ARTIKEL YANG SAMA