Masih tiada pengesahan serpihan ditemukan milik MH370 – Liow

Masih tiada pengesahan serpihan ditemukan milik MH370 – Liow

LANGKAWI, 24 Jan – Masih tiada pengesahan bahawa serpihan yang disyaki milik sebuah pesawat yang ditemukan di pantai selatan Thailand adalah milik pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sehubungan itu, Liow berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman supaya menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan.

“Ketika ini ia hanya spekulasi kerana kita belum dapat apa-apa pengesahan daripada Thailand,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.

Liow meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dalam hal membabitkan MH370 kerana ia hanya memberi tekanan kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Berdasarkan laporan berita, serpihan yang disyaki bangkai pesawat telah dijumpai di pantai selatan Thailand.

Serpihan besar kepingan logam melengkung dikatakan terdampar di wilayah Nakhon Si Thammarat, dan penduduk kampung telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk membantu mengenal pastinya. – Bernama