Masjid digesa penuhi program semasa hari tasyrik

Masjid digesa penuhi program semasa hari tasyrik

SEREMBAN, 13 Sept – Masjid di negeri ini disaran untuk mengadakan lebih banyak program kemasyarakatan semasa Aidiladha dan pada hari tasyrik iaitu, tiga hari selepas raya, bagi menyubur semangat perpaduan dalam kalangan anggota kariah.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata semasa sambutan Aidiladha, anak-anak perantauan yang pulang ke kampung lebih banyak ke masjid kerana bergotong-royong mengadakan ibadah korban.

“Inilah masa yang sesuai untuk masjid mengadakan program seperti kenduri rakyat dan tazkirah sementara menunggu selesainya ibadah korban kerana ketika waktu ini ramai berada di masjid.

“Jika ini dapat dijadikan amalan, ia akan dapat memperkasakan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara kita,” katanya di Program Ibadah Korban di Kompleks Islam Rantau dekat sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, berkata apabila umat Islam mementingkan perpaduan, penyatuan dan kesepakatan, ia akan menjadikan umat Islam kuat selain disegani kawan dan lawan.

Sementara itu, pada majlis tersebut sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan dengan sebahagian daging dimasak untuk jamuan kenduri rakyat manakala selebihnya diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan anggota kariah masjid. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA