Masjid diserang, 25 maut

Masjid diserang, 25 maut

SANAA, 24 Sept (AFP) – Seorang penyerang nekad menyerang sebuah masjid di ibu negara Yaman hari ini dalam satu serangan yang menyasarkan penganut Syiah yang meragut sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan berpuluh orang ketika solat Aidiladha, kata ahli perubatan dan saksi.

Kumpulan jihad Islamic State (IS) telah mengaku bertanggungjawab melakukan serangan yang menggegarkan masjid Balili di mana pemberontak Huthi Syiah yang mengawal Sanaa sedang mengadakan solat, menurut saksi.

Ia berlaku ketika umat Islam menyambut Aidiladha, Hari Raya Korban, hari penting dalam kalendar Islam.

Saksi melaporkan bahawa selepas letupan pertama dalam masjid, seorang penyerang nekad meletupkan tali pinggang yang dipenuhi bahan letupan di pintu masuk ketika orang ramai bergegas menuju keluar. Ia tidak jelas jika letupan pertama itu juga datangnya dari seorang penyerang nekad.

IS, kumpulan radikal Islam Sunni yang mengawal sebahagian wilayah di Iraq dan Syria, menggambarkan Syiah sebagai memiliki fahaman yang menyeleweng.

Serangan bom IS menyasarkan beberapa buah masjid Syiah di Sanaa pada 21 Mac lalu yang membunuh 142 orang. Kumpulan itu juga mengaku menyerang masjid di Kuwait dan Arab Saudi.

Ibu negara Yaman yang majoritinya dihuni oleh Ahli Sunah berada di bawah kawalan pemberontak Huthi sokongan Iran sejak setahun lalu. Pemberontak juga mengembangkan cengkaman mereka ke bahagian-bahagian lain negara itu.

Tentera pro kerajaan dibantu dengan serangan udara dan tentera yang dibantu oleh gabungan Arab diketuai Arab Saudi baru-baru ini berjaya untuk merampas kembali sebahagian wilayah selatan, termasuk bandar kedua Aden.

Selepas enam bulan dalam buangan di negara jiran, Arab Saudi, Presiden Abderabbo Mansour Hadi kembali ke Aden pada Selasa lalu dengan berikrar untuk membebaskan negara itu dari Huthi.