Masjid Hassanal Bolkiah sambut Jubli Emas

Masjid Hassanal Bolkiah sambut Jubli Emas

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 7 Okt – Bagi menyemarakkan dan meraikan sambutan Jubli Emas Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, majlis khatam Al-Quran dan penyampaian cenderamata kenang-kenangan kepada bekas pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di masjid itu diadakan pagi tadi.

Majlis khatam dan penyampaian cenderamata itu merupakan sebahagian daripada beberapa rancangan yang telah diatur untuk memeriahkan sambutan Jubli Emas Masjid Hassanal Bolkiah.

Hadir menyerikan majlis khatam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, pegawai hal ehwal masjid, imam-imam dan bilal-bilal di Daerah Tutong, penduduk dan jemaah masjid serta Muslimah dan beliawanis masjid turut hadir pada majlis khatam itu.

Peserta khatam terdiri daripada ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, jemaah masjid, kumpulan belia dan beliawanis serta kumpulan Muslimah.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderahati kepada bekas imam dan bilal yang pernah bertugas di masjid berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderahati kepada bekas imam dan bilal yang pernah bertugas di masjid berkenaan.

Majlis bertujuan mengimbas kembali kenangan dan sejarah dari awal penubuhan masjid sehingga sekarang, mengenang dan mengingati peristiwa penting yang berlaku dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh masjid pada era 60an dan sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Ia juga untuk mengenang jasa imam dan bilal yang pernah bertugas di sana dan memberikan penghargaan kepada mereka. Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong merupakan satu-satunya masjid utama yang ada di Daerah Tutong, berfungsi sebagai rumah Allah dan pusat kegiatan acara-acara keagamaan serta hari kebesaran Islam di Daerah Tutong sesuai dengan fungsi dan peranan masjid.

Ia meraikan ulang tahun 50 tahun penubuhannya pada 26 Ogos 2016 yang lalu.

ARTIKEL YANG SAMA