Masjid Kg. Pengkalan Batu terima wakaf kereta jenazah

Masjid Kg. Pengkalan Batu terima wakaf kereta jenazah

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Masjid Kampung Pengkalan Batu telah menerima wakaf kereta jenazah bagi keperluan urusan masjid dan penduduk kampung terutamanya dalam menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Sehubungan itu majlis penyerahan kunci kereta berkenaan telah diadakan di masjid berkenaan, hari ini, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Mohd Yusof.

Pada majlis itu, kunci kereta wakaf Hajah Dayang Latifah binti Pehin Penyurat Haji Awang Mohd Salleh itu telah disampaikan oleh wakilnya, Haji Awang Mohd Khairul Anuar bin Pehin Penyurat Haji Awang Mohd Salleh kepada tetamu kehormat yang kemudian menyerahkannya kepada Ketua Imam Masjid Kampung Pengkalan Batu, Pengiran Saiful Khairul Hakimin bin Pengiran Liudin.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz semasa majlis penyerahan kunci wakaf kereta jenazah di Masjid Kampung Pengkalan Batu.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz semasa majlis penyerahan kunci wakaf kereta jenazah di Masjid Kampung Pengkalan Batu.

Seterusnya tetamu kehormat menghidupkan enjin kereta jenazah berkenaan, berselawat dan menabur bunga rampai ke atas kenderaan itu, sebelum dibawa melawat pameran kelengkapan barang-barang dan bilik jenazah.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Pengkalan Batu, Haji Kahar bin Haji Tunggal, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani, Pegawai Zon 1B, Haji Hamrin bin Haji Mangshor, ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Pengkalan Baru, dan para jemaah masjid yang mengerjakan solat Fardu Jumaat.