Masjid Kg Puni johan Quran Murattal

Masjid Kg Puni johan Quran Murattal

Oleh Ampuan Irma Susanti binti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 9 Jun – Sebanyak enam pasukan lelaki mewakili masjid-masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Temburong telah mengikuti pertandingan Peraduan Membaca Al-Quran Secara Murattal yang terbuka kepada ahli jawatankuasa takmir dan belia-belia masjid di daerah ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Batu Apoi, itu ialah Penghulu Mukim Batu Apoi, Haji Matzain bin Haji Awang, yang turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para peserta.

Muncul johan dengan markah 87.5 peratus adalah Pasukan Masjid Kampung Puni, naib johan disandang Pasukan Masjid Kampung Batu Apoi dengan mata 87 peratus dan pasukan mewakili Surau Kampung Piasau-Piasau di tempat ketiga dengan mata 85.5 peratus.

Peraduan kali pertama ini merupakan aktiviti Takmir Masjid-Masjid Kawasan 1 anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Apoi dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong.

Ketua Pasukan Masjid Kampung Puni menerima hadiah johan daripada Haji Matzain.
Ketua Pasukan Masjid Kampung Puni menerima hadiah johan daripada Haji Matzain.
Peraduan seumpama ini digalakkan untuk menimbulkan minat serta menghalusi dan memantapkan lagi bacaan Al-Quran dalam kalangan belia remaja.
Peraduan seumpama ini digalakkan untuk menimbulkan minat serta menghalusi dan memantapkan lagi bacaan Al-Quran dalam kalangan belia remaja.

Antara lain tujuannya adalah untuk menambah minat dan membiasakan para belia berjinak-jinak dengan masjid serta menghalusi bacaan Al-Quran dengan mengamalkan pembacaan Al-Quran secara murattal, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara kumpulan belia masjid yang ada di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA