Masjid Kg Selangan anjur Majlis Halaqah Zikir

Masjid Kg Selangan anjur Majlis Halaqah Zikir

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 31 Ogos – Dalam usaha menyahut hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, Pejabat Hal Ehwal Masjid, Daerah Temburong dengan kerjasama ahli-ahli jawatankuasa (AJK) takmir Masjid Kampung Selangan telah mengadakan Majlis Halaqah Zikir di Masjid Kampung Selangan, di sini, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pembantu Pegawai Pengajian Islam Daerah Temburong, Awang Mutalib bin Haji Sulaiman.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Amo, Haji Bahrun bin Haji Talib, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, Haji Adam bin Haji Tengah, imam-imam dan bilal-bilal, guru-guru serta murid-murid Tahun 6, Sekolah Rendah Selangan.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama ini adalah dihasratkan untuk menjadikan zikir itu sebagai amalan harian setiap para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Peserta Program Halaqah Zikir bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis.
Peserta Program Halaqah Zikir bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengembangkan syiar Islam dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pegawai-pegawai masjid dan kakitangan kerajaan serta AJK takmir masjid dan penuntut-penuntut sekolah.

Terdahulu, majlis tersebut telah dimulakan dengan Solat Hajat berjemaah dan diikuti dengan membaca Surah Yasin serta Doa Khas Halaqah Zikir dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.