Masjid RPN Rataie anjur Bengkel Pelapis Imam

Masjid RPN Rataie anjur Bengkel Pelapis Imam

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 2 Mac – Untuk memberikan pendedahan mengenai syarat yang diperlukan untuk menjadi imam dan memperkukuh amalan rukun qauli dan fe’li, wirid serta doa-doa dalam solat, Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong telah menganjurkan Bengkel Pelapis Imam Masjid bagi jemaah Masjid RPN Rataie, baru-baru ini.

Program ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama pegawai-pegawai hal ehwal masjid dan balai-balai ibadat di daerah ini serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Rataie, merupakan kegiatan untuk menjadikan masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan di samping menambah kemahiran memimpin solat berjemaah khususnya kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir di masjid-masjid.

Bengkel dua hari ini turut dimuatkan dengan ceramah-ceramah mengenai motivasi menjadi imam, rukun Fe’li dan Qauli dalam solat, syarat-syarat menjadi seorang imam, yang disampaikan oleh bekas imam, Haji Asmat bin Haji Tuah yang menerangkan mengenai rukun fe’li, manakala itu mengenai rukun qauli pula disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Zon Brunei Muara, Awang Hanafi bin Haji Zaini selaku pembengkel pada hari kedua.

Awang Hanafi ketika ditemui menjelaskan, bengkel seumpama ini sangat berguna dan perlunya setiap jemaah masjid mengetahui dan merasa yakin untuk tampil sebagai imam ketika imam masjid atau pegawai masjid menghadapi hal-hal kecemasan atau keuzuran, maka harus ada pelapis yang berpengetahuan dan berpengalaman untuk menjadi pelapis imam ini.

Sepanjang bengkel itu, para Jemaah turut diajarkan cara memantapkan bacaan-bacaan dalam solat, melancarkan amalan-amalan wirid dan menghafaz doa selepas solat serta memberikan keyakinan kepada para jemaah di setiap masjid supaya akan lebih bersedia menjadi imam pada bila-bila masa diperlukan.

Program seumpamanya akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA