Masjid sebagai pusat persinggahan

Masjid sebagai pusat persinggahan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Rombongan seramai 35 orang daripada Islamic Union Hong Kong yang diketuai oleh pengerusinya, Suffiad Azizul Rahman hari ini telah mengadakan lawatan ke Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sungai Akar.

Hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong yang juga selaku Penaung Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Lawatan rombongan tersebut bertujuan bagi mengeratkan silaturahim di antara ahli rombongan dan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, terutamanya kaum belia, di samping bertukar-tukar maklumat dalam usaha dan aktiviti dakwah yang dilakukan oleh agensi-agensi di negara ini dan melawat tempat-tempat yang menarik.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bergambar ramai bersama rombongan Islamic Union Hong Kong dan jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bergambar ramai bersama rombongan Islamic Union Hong Kong dan jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Lawatan persinggahan ini juga mempamerkan sokongan dan potensi pelancongan Islam di Negara Brunei Darussalam sepertimana yang disentuh oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dalam ucapan perasmian ‘Seminar Sumbangan Budaya Islam dan Impaknya Kepada Pasaran Pelancongan Asia’ yang antara lain menyatakan, “Negara Brunei Darussalam sudah pun menyediakan banyak tempat menarik terutama dalam ekopelancongan seperti Ulu Temburong, Tasek Merimbun, pantai-pantai peranginan serta lokasi selaman bagi pelancongan marin.

“Selain itu, negara ini juga menawarkan beberapa tarikan bersejarah dan kebudayaan menarik seperti Kampong Ayer, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, muzium-muzium, bangunan masjid dan istana yang kerap menjadi lokasi popular para pelancong”.

Lawatan persinggahan seperti ini juga menunjukkan kerjasama Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah dengan agensi-agensi pelancongan yang mana menjadikan masjid sebagai pusat persinggahan aktiviti keagamaan seperti, majlis ilmu, kuliah Maghrib, kelas membaca Al-Quran, aktiviti-aktiviti keagamaan yang bersempena dan sebagainya.