MASKargo gigih promosi syarikat

MASKargo gigih promosi syarikat

MUMBAI, 28 Feb (Bernama) – Syarikat pengangkut kargo utama Asia Tenggara, MASkargo, yang berhasrat mengekalkan kedudukan penerajuannya, berusaha gigih mempromosikan syarikat itu di pameran Air Kargo India 2016 yang baru berakhir baru-baru ini, di sini.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, anjuran STAT Media Group, yang berpangkalan di Mumbai, telah melonjak menjadi acara khusus utama India bagi industri kargo udara.

MASkargo, cabang kargo Malaysia Airlines, menduduki ruang pameran yang besar untuk mempamerkan produk dan perkhidmatannya kepada pengunjung perdagangan kargo udara.

Ahmad Luqman Mohd Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, memberitahu Bernama di pameran tersebut bahawa 2016 merupakan tahun yang penting bagi program transformasi Malaysia Airlines.MASkargo ketika kini mengendalikan 4 kumpulan pesawat pengangkut A-330F.

Ketika ini, hanya dua yang digunakan dengan dua yang lain dipajak kepada Turkish Airline Cargo.

“Pesawat pengangkut Airbus A-330F sesuai bagi operasi serantau terutamanya ke China, India dan Asia Tenggara (Vietnam dan Indonesia).

“Bagaimanapun, kami masih mencari rakan kongsi bagi rancangan ‘blocked space’, yang melibatkan pajakan pesawat kepada syarikat penerbangan lain.

“Kami menyasar meningkatkan trafik dari Kuala Lumpur menerusi Asia Tengah ke Amsterdam.

“Sudah bertahun-tahun kami menyediakan perkhidmatan ke pasaran Belanda, dengan Amsterdam menjadi hab kami di Eropah,” katanya.MASkargo mengendalikan 398,722 tan metrik kargo pada 2015, turun lapan peratus daripada 434,793 tan metrik pada 2014, ekoran penurunan kapasiti kargo yang diangkut syarikat itu.Meskipun tumpuan MASkargo pada asasnya di pasaran serantau, ia menggunakan “blocked space” bagi trafik antarabangsanya, dengan menggunakan syarikat penerbangan lain.

Ahmad Luqman mendedahkan bahawa syarikat itu sedang berbincang dengan Emirates, syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, bagi ruang kargo pesawat dan menekankan kepentingan India sebagai satu pasaran.

“China dan India saling berkaitan. Kami melihat permintaan tinggi bagi pengangkutan kargo dari China ke India, terutamanya dalam segmen seperti elektronik dan e-dagangan.

“Ini adalah bagi kargo yang keluar dari China, tetapi dari India, kami melihat potensi dalam farmaseutikal, kimia dan pengangkutan produk merbahaya yang tidak dibenarkan diangkut dalam ruang kargo pesawat penumpang,” katanya.