MASKargo hentikan penerbangan kargo ke Frankfurt

MASKargo hentikan penerbangan kargo ke Frankfurt

MUNICH, 10 Mei (Bernama) – Selepas Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan baru-baru ini yang ia akan menghentikan penerbangan penumpangnya ke Frankfurt berkuatkuasa 29 Mei, cabang kargo syarikat penerbangan itu, MASKargo turut memutuskan untuk menghentikan penerbangan kargo tiga kali seminggunya ke bandar raya berkenaan mulai 31 Mei.

MASKargo yang mengendalikan tiga penerbangan ke Amsterdam, sebaliknya merancang menambah dua lagi penerbangan ke destinasi berkenaan mulai tarikh itu.

“MAS turut membawa kargo dalam penerbangan penumpang hariannya ke Amsterdam. Jumlah kapasiti kargo ke bandar raya itu kini kira-kira 370 tan metrik seminggu, yang diangkut oleh pesawat penumpang dan kargo.

“Dengan penambahan dua penerbangan kargo seminggu, muatannya dijangka meningkat daripada 370 tan metrik kepada 570 tan metrik seminggu,” kata Pengurus Kargo Serantau di Amsterdam, Keesjan de Vries, kepada Bernama di Pameran Pengangkutan/Logistik 2015 di Munich pada 5 hingga 8 Mei lepas.

Diiktiraf sebagai pameran terbesar dan terpenting untuk industri logistik global, pameran dua tahun sekali itu menarik ramai pempamer serta pengunjung dari seluruh dunia.

“Ya, ini adalah pameran terbaik untuk syarikat penerbangan kargo dan menarik minat mereka yang terbabit dalam industri logistik,” kata de Vries.

“Kami sentiasa sibuk menerima pengunjung di gerai kami, tetapi saya juga melawat gerai lain bagi menarik syarikat atau pengunjung kepada perniagaan kami.

“Sepertimana yang dapat anda lihat, keseluruhan peserta industri berada di sini, termasuk syarikat perkapalan, agen jualan am, pengendali dan ejen penghantaran dan lain-lain,” tambahnya.

Walaupun aktiviti ekonomi Jerman lumpuh berikutan mogok pekerja kereta api, agensi penganjuran, Messe Munchen berkata, pameran itu menarik lebih 55,000 pengunjung (meningkat berbanding 52,308 pada 2013) daripada 124 negara dan 2,050 pempamer (berbanding 2,013 sebelum ini) daripada 62 negara

Syarikat-syarikat yang menyertai Kargo Udara Eropah, acara kargo udara terbesar dunia dan sebahagian daripada Pameran Pengangkutan/Logistik, turut berpuas hati.

Bagi David Kerr, Naib Presiden Etihad Cargo, pameran perniagaan itu telah “membuka pelbagai peluang perniagaan baharu untuk perniagaan kami dan kami menghargai acara itu berikutan kejayaan yang kami peroleh.”

Perunding penerbangan berpendapat MAS dan MASKargo akan mampu menonjolkan diri mereka di pameran perdagangan dan persidangan global bagi memulih imej mereka di peringkat antarabangsa selepas ditimpa dua tragedi tahun lepas.

ARTIKEL YANG SAMA