Masuk sistem sungai dalam Google Maps

Masuk sistem sungai dalam Google Maps

KUCHING, 29 Julai (Bernama) – Google Malaysia diminta mengkaji termasuk memasukkan sungai-sungai utama di Sarawak dan Sabah dalam Google Maps untuk negara ini.

Ini, menurut, Menteri Muda Pelancongan Negeri Datuk Gramong Juna akan membuka lebih banyak kawasan dan tempat-tempat pelancongan yang belum diterokai di sepanjang sungai bagi meningkatkan sektor pelancongan dan perniagaan. Beliau membuat cadangan itu semasa melancarkan Google Malaysia Street View bagi imejan jalan raya di Sabah dan Sarawak di sini hari ini.

Katanya 80 peratus jalan di kedua-dua negeri itu telah dikemas kini dalam Google Maps, berbanding 90 peratus di Semenanjung.

“Namun di Sarawak, sebagai contoh, sungai-sungainya masih penting dan memainkan peranan utama dalam kehidupan penduduk luar bandar.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak Datuk Gramong Juna (dua dari kiri) diberi penerangan oleh kakitangan Google Malaysia Nhazlisham Hamdan (kanan) mengenai fungsi alat ‘Trekker’ Google yang digunakan khas untuk merakam imej di kawasan pedalaman, selepas majlis pelancaran Google Street View -East Malaysia hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Google Malaysia Sajith Sivanandan (kiri). – Bernama

Sebelum itu, pengarah urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan pasaran baru muncul, Sajith Sivanandan, berkata dengan adanya jalan raya dan paparan jalanan di Malaysia Timur buat pertama kali menjadikan Google Maps lebih berguna, komprehensif dan menyeronokkan bagi rakyat Malaysia dan pihak-pihak yang berminat untuk melawat kedua-dua negeri.

“Kami sentiasa berusaha untuk memperluaskan lokasi dalam liputan paparan jalanan dan begitu teruja untuk membawa lebih banyak mengenai Malaysia dalam perkhidmatan kami,” katanya.