Masuki ASEAN menerusi Labuan IBFC

Masuki ASEAN menerusi Labuan IBFC

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Syarikat-syarikat Indonesia sedang meneliti kaedah yang cekap dan sah untuk berkembang ke dalam ASEAN menerusi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Labuan IBFC Danial Mah Abdullah berkata Labuan IBFC berada di kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan itu disebabkan jaraknya yang hampir dengan pasaran-pasaran Asia yang strategik, pengawasan kawal selia yang kukuh serta sistem cukai yang mudah dan berdaya saing.

“Ketika ASEAN bertumbuh sebagai kuasa ekonomi, peningkatan kekayaan di rantau ini mengatasi kawasan lain di dunia,” katanya.

Labuan IBFC, pusat perniagaan antarabangsa dan kewangan tengah pesisir Asia Pasifik, mengadakan jerayawara Jakarta sebagai sebahagian daripada jerayawara ASEAN, hari ini.

Bertemakan “Labuan IBFC: Menghubungkan Indonesia dengan ASEAN’, jerayawara itu menyasarkan korporat Indonesia yang berhasrat memperluas jejak ASEAN mereka.

Jerayawara ASEAN bermula di sini pada 27 Mei diikuti di Manila pada 2 Jun dan hari ini di Jakarta.

ARTIKEL YANG SAMA