Masukkan Hari Kemerdekaan Sarawak

Masukkan Hari Kemerdekaan Sarawak

MIRI, 21 Julai – Sarawak mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 22 Julai, 1963 perlu dimasukkan dalam buku teks sejarah bagi membolehkan pemahaman menyeluruh sejarah negeri ini.

Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata tarikh itu adalah fakta sejarah – bila Sarawak mendapat taraf pemerintahan sendiri – dan ini wajar diketahui dan disedari oleh generasi sekarang.

“Namun, tarikh itu adalah untuk peringatan semata-mata demi memahami sejarah negeri ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, Tiong berkata jika terlalu banyak penekanan mengenai kemerdekaan Sarawak, ia boleh menjejas ikatan akrab antara Sarawak dengan Semenanjung.

Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.
Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau mengulangi kenyataan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman bahawa “bila wilayah Borneo menjadi sebahagian daripada Malaysia, mereka tidak lagi menjadi tanah jajahan Britain dan tidak juga tanah jajahan Malaysia – saya kira, saya telah jelaskan – bahawa mereka menjadi rakan sama taraf”.

Tiong berkata, sebagai rakyat Sarawak beliau bersetuju rakyat negeri ini harus memperjuangkan lebih banyak hak untuk Sarawak.

Misalnya, menuntut agar rakyat Sarawak diberikan peluang memegang jawatan penting menteri di peringkat persekutuan seperti di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan lebih banyak peluang untuk rakyat negeri berkenaan memainkan peranan penting dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau menasihatkan rakyat Sarawak agar menolak sebarang gerakan atau pertubuhan yang mahukan Sarawak keluar dari Malaysia kerana ini boleh mengakibatkan kesan serius, terutama terhadap perpaduan nasional. – Bernama