Masyarakat antarabangsa warnai persembahan

Masyarakat antarabangsa warnai persembahan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Julai – Hampir 200 orang pegawai dan kakitangan dari gabungan Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP), Syarikat Brunei LNG, Syarikat Brunei Gas Carrier (BGC) dan Syarikat Brunei Methanol (BMC) akan terlibat menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat yang akan diadakan di Padang Bandaran di sini, Sabtu nanti.

Pemangku Pengarah Urusan Syarikat BSP, Haji Kamaluddin bin Haji Bungsu semasa ditemui Media Permata hari ini menyatakan, peserta gabungan tersebut turut melibatkan penyertaan keluarga para pekerja di syarikat-syarikat berkenaan yang berasal dari pelbagai negara dan sedang bertugas di Negara Brunei Darussalam pada masa ini.

Menurutnya, BSP dan syarikat lainnya yang digabungkan bersama, merasa berbesar hati kerana telah diberikan peluang menyertai majlis yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, khususnya di Daerah Belait ini.

Haji Kamaluddin ketika ditemubual media.
Haji Kamaluddin ketika ditemubual media.

Beliau menjelaskan, kira-kira 150 orang pekerja dari Syarikat BSP, Brunei LNG, BGC dan BMC berserta keluarga akan menyertai majlis itu nanti yang telah ditetapkan bagi kategori Khemah Syarikat-Syarikat yang terkenal di Daerah Belait ini.

Turut menjunjung keberangkatan Baginda Sultan serta memeriahkan lagi suasana Majlis Bersama Rakyat di Daerah Belait ialah masyarakat antarabangsa yang terdiri daripada mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat BSP, Brunei LNG, BGC dan BMC.

“Persiapan bagi majlis itu sedang rancak kami sediakan, termasuklah latihan-latihan bagi persembahan kebudayaan daripada keluarga pekerja-pekerja antarabangsa Syarikat BSP, Brunei LNG dan BGC, dan di sana nanti akan mencerminkan betapa kayanya Daerah Belait dengan budaya lain termasuklah daripada masyarakat antarabangsa yang sama-sama akan menyambut keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA