Masyarakat diminta hadir meriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan

Masyarakat diminta hadir meriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan

TAWAU, 1 Ogos – Pemilihan Tawau sebagai tuan rumah sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan membuktikan kerajaan tidak pernah melupakan daerah ini, kata Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama hadir bersama-sama memeriahkan sambutan yang akan diadakan pada 6 Ogos ini, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

“Sebagai orang Tawau, kita perlu berbangga dan perlu sama-sama menunjukkan semangat kita sebagai rakyat yang sentiasa bersyukur dengan nikmat perpaduandan keamanan serta kedaulatan dikecap pada masa kini.

“Oleh itu, saya berharap seluruh masyarakat di sekitar daerah ini hadir bersama-sama bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2016 Syarikat Benta Wawasan Sdn Bhd, di sini hari ini.

Mengenai majlis itu, Nizam yang juga Pengerusi Benta Wawasan berkata sambutan perayaan berkenaan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja syarikat berkenaan.

“Program ini sangat bermakna kerana kita dapat meraih semangat kekeluargaan, saling bantu-membantu serta menaikkan semangat warga syarikat agar memberi kualiti kerja yang dapat meningkatkan prestasi syarikat,” katanya. – Bernama