Masyarakat Pakistan turut prihatin anak yatim

Masyarakat Pakistan turut prihatin anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Sempena bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, masyarakat Pakistan di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis bersungkai dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, yang berlangsung di Dewan Muhibbah Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis meraikan seramai 150 orang anak yatim dan beberapa orang warga emas ini adalah salah satu aktiviti warga Pakistan di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama membantu anak-anak yatim di negara ini. Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Brigedier (B) Muhammed Zareef Malik berkata, aktiviti seumpama ini adalah antara aktiviti masyarakat Pakistan sempena bulan Ramadan.

Beliau menyatakan harapan bahawa dengan adanya sumbangan dan majlis berbuka puasa berkenaan akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat Brunei terutama sekali anak-anak yatim dan warga emas.

Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan kepada beberapa warga emas yang diraikan di majlis berkenaan.
Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan kepada beberapa warga emas yang diraikan di majlis berkenaan.
Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan derma kepada anak-anak yatim di majlis berkenaan.
Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan derma kepada anak-anak yatim di majlis berkenaan.

Majlis berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh Bukhari Sdn Bhd Textile, Afridi Jaya Sdn Bhd Textile, Firoz Jaya Silk House Sdn Bhd & Testile Palace, Dayang Limah dan Anak-anak, dan anggota Persatuan Persahabatan Pakistan-Brunei.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil, doa arwah serta doa selamat, sebelum majlis berbuka puasa bersama-sama.

ARTIKEL YANG SAMA