Masyarakat perlu matang tangani trend dadah

Masyarakat perlu matang tangani trend dadah

KUDAT, 17 Mac (Bernama) – Trend penagihan dan pengedaran dadah menggunakan media sosial terkini memerlukan masyarakat untuk berfikiran lebih matang dalam melahirkan masyarakat bebas daripada ancaman dadah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kewujudan pelbagai jenis dadah dan kaedah yang tidak dicurigai, khususnya dalam kalangan remaja, menuntut masyarakat agar lebih peka akan bahaya penggunaan dadah yang semakin berleluasa. “Kepesatan pembangunan dan perkembangan sains dan teknologi maklumat yang kita alami dewasa ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi golongan remaja dan merubah cara hidup atau budaya mereka.

Ledakan maklumat dalam era siber ini menghambat golongan remaja dan memberi impak tidak kurang hebatnya terhadap perkembangan intelek, rohani dan daya saing serta daya tahan sehingga dibimbangi mereka terpinggir, tercicir dan hanyut daripada arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kem Maju Diri Pelajar 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Kem Pinawantai di sini hari ini.Jainab, yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), turut mengingatkan golongan remaja supaya tidak mengingkari nasihat dan amaran ibu bapa dan guru untuk menghindari penyebab gejala penagihan dadah seperti pengaruh kawan.