Masyarakatkan muzium

Masyarakatkan muzium

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Usaha yang lebih dinamik, proaktif dan kaedah baru perlu diketengahkan untuk menarik minat belia dan rakyat di negara ini agar dapat memasyarakatkan budaya serta nilai-nilai murni Melayu Brunei dengan lebih berkesan.

Hasil kajian Kebangsaan Pemahaman Belia Mengenai Kebudayaan dan Kesenian Negara Brunei Darussalam yang diusahakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam pada 2013 mendapati bahawa tahap kesedaran terhadap kebudayaan dan kesenian Negara Brunei Darussalam dalam kalangan rakyat adalah tidak memuaskan.

Manakala itu, 73 peratus yang mengikuti kajian berkenaan berpendapat tahap pengalaman kebudayaan Melayu Brunei dalam kalangan belia masih di peringkat rendah di mana kajian itu disertai oleh 2,000 belia yang berusia di antara 15 hingga 40 tahun.

Hasil kajian dan seruan itu dibuat oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Muzium dan Hari Arkib Antarabangsa 2015 Sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan Jabatan Muzium-Muzium.

“Dengan adanya dapatan yang mengecewakan ini seharusnya menjadi wake-up call kepada semua agensi yang bertanggungjawab ke atas pemeliharaan, penyebaran dan kemapanan budaya Brunei,” tekan Datin Hajah Adina lagi di majlis yang berlangsung di Atrium, Airport Mall, Berakas, hari ini.

Datin Paduka Hajah Adina melihat dengan lebih dekat salah satu permainan tradisi masyarakat Brunei yang diketengahkan dalam pameran yang diadakan.
Datin Paduka Hajah Adina melihat dengan lebih dekat salah satu permainan tradisi masyarakat Brunei yang diketengahkan dalam pameran yang diadakan.

MY MUSEUM LOGO FA

Datin Hajah Adina ketika menyampaikan ucapan di majlis itu.
Datin Hajah Adina ketika menyampaikan ucapan di majlis itu.

Beliau menyarankan supaya pihak yang berkenaan untuk lebih proaktif dalam memikirkan cara dan kaedah baru bagi menarik minat belia dan rakyat negara supaya akan dapat menyebarkan serta memasyarakatkan budaya dan nilai-nilai murni dengan lebih berkesan.

Datin Hajah Adina juga menyatakan bahawa kementeriannya melalui Jabatan Muzium-Muzium (JMM) terus berusaha memasyarakatkan muzium supaya orang ramai khususnya masyarakat tujuh puak jati Brunei, akan dapat memantapkan lagi amalan budaya sebagai sendi perpaduan dan pembentukan jati diri yang berlandaskan budaya Melayu, agama Islam dan kepimpinan beraja.

“Tanpa penglibatan masyarakat suku kaum di negara ini, Jabatan Muzium-Muzium tidak akan wujud untuk mencerminkan, membimbing, atau membantu serta memperkuatkan lagi nilai-nilai budaya dan semangat jati diri bangsa Melayu Brunei.”

Datin Hajah Adina berharap JMM akan terus berkembang dengan menggunakan kaedah baru untuk mewujudkan muzium zaman baru serta memikirkan cara untuk memasyarakatkan muzium melalui kaedah seperti muzium hidup (living museum).

“Saya juga mengalu-alukan usaha Jabatan Muzium-Muzium untuk mendirikan muzium tempatan (local museum) atau pameran-pameran muzium di daerah-daerah yang lain bagi mencerminkan sejarah dan budaya tempatan.”

Ulas Datin Paduka Hajah Adina lagi, “Kerjasama dengan masyarakat dan pejabat-pejabat daerah adalah sangat-sangat diperlukan dalam menggerakkan masyarakat setempat untuk membantu bagi mewujudkan muzium-muzium daerah suatu hari nanti.”

Usaha berkenaan akan membolehkan negara untuk mengangkat dan mengetengahkan kekayaan khazanah bangsa untuk dijadikan simbol kebangsaan dan mampu untuk mendukung masyarakat setempat dalam memperkukuhkan identiti serta menghidupkan semula amalan tradisi kita.

“Amalan-amalan tradisi tersebut juga diharap akan dapat muncul berkembang di tengah-tengah cabaran baru dalam mengharungi abad ke-21 ini, agar usaha dan ketahanan diri masyarakat setempat masih dapat bersaing dengan jayanya.”

ARTIKEL YANG SAMA