Mata minta maaf

Mata minta maaf

MANCHESTER, 8 Mac (AFP) – Juan Mata tampil memohon maaf kepada penyokong Manchester United selepas dibuang padang buat kali pertama dalam kariernya sehingga menyebabkan mereka tewas 1-0 kepada West Brom, kelmarin.

Perancang tengah itu mengutip dua kad kuning dalam tempoh 158 saat pada babak pertama di The Hawthorns. Kekalahan itu memberi tamparan hebat kepada United untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara dan mereka kini keciciran tiga mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester City, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

United bakal mengharungi ujian lebih getir bulan ini apabila dijadualkan menentang Liverpool dalam pertemuan 16 terakhir Liga Europa selain berdepan West Ham dan City.

Mata berjalan keluar selepas 26 minit perlawanan selepas dilayangkan dua kad kuning kerana menghalang sepakan percuma serta terjahan liar ke atas Darren Fletcher dan memohon maaf di atas kesilapannya itu.

“Selepas hampir 500 perlawanan sebagai pemain profesional, saya diarah keluar padang buat kali pertama sepanjang karier. Seperti anda boleh bayangkan, ia bukannya mudah untuk saya menulis permohonan ini,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu dalam blog miliknya.

Mata meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua dalam aksi liga menentang West Brom di The hawthorns, 6 Mac lalu. – Reuters
Mata meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua dalam aksi liga menentang West Brom di The hawthorns, 6 Mac lalu. – Reuters

“Sebenarnya ia adalah situasi yang baharu dan aneh untuk saya, tetapi saya harus belajar daripadanya. Saya sedar dalam bola sepak, kita melihat perkara seperti ini setiap minggu, tetapi jelas apa yang lebih menyakitkan rakan sepasukan terpaksa berjuang dengan 10 pemain untuk tempoh masa yang panjang.

“Saya rasa keputusan pengadil itu terlalu keras, kerana dalam banyak insiden sama, kita pernah melihat kesalahan itu tidak dikenakan kad kuning, tetapi pada masa sama saya tidak boleh mengelaknya dan harus mengambil tanggungjawab ini.

“Ia juga membuat saya rasa bersalah kepada penyokong yang bertandang ke stadium itu, dan bagi mereka yang menonton perlawanan dari rumah, tetapi saya mesti meneruskan usaha seperti biasa dan mulai sekarang tumpuan saya hanya untuk perlawanan seterusnya menentang Liverpool dalam Liga Europa.

ARTIKEL YANG SAMA